Ahad, 28 Disember 2014

TAKZIAH PENUMPANG QZ8501


Takziah dari Kraftangan Malaysia buat penumpang mangsa nahas kapal terbang Air Asia QZ8501. Semoga keluarga & sahabat handai yang ditinggalkan diberi ketabahan serta kekuatan menghadapi musibah ini. Kita yang hidup mesti diteruskan, dari Allah SWT kita dtg kepada Allah SWT juga akhirnya kita kembali. Hanya doa yang mampu dikirim kepada mangsa tragedi. إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Khamis, 18 Disember 2014

MAJLIS PERASMIAN FESTIVAL KRAF JOHOR 2014

JOHOR BAHRU, 18 DISEMBER 2014 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan hari ini mengadakan Majlis Perasmian Festival Kraf Johor 2014 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan bertempat di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall.

Hadir sama Yang Berbahagia Datuk Dr. Ong Hong Peng, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Yang Berbahagia Datuk Hj. Ab. Ghaffar bin A.Tambi, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Yang Berusaha Encik Rashidi bin Hasbullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Yang Berusaha Dr Junaidah Lee binti Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Yang Berbahagia Dato’ Mohd Kamil bin Mohd Ali, Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Festival Kraf Johor 2014 merupakan satu aktiviti mempromosi produk-produk kraf tempatan yang berlangsung mulai 18 hingga 31 Disember 2014 bermula dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall.

Penganjuran Festival Kraf Johor 2014 merupakan kali ke-4 diadakan dan dijadikan sebagai acara tahunan setelah mendapat maklum balas positif yang diterima daripada pengunjung dan pengguna kraf di selatan tanah air sejak mula diperkenal pada tahun 2011.

Objektif utama penganjuran Festival Kraf Johor ialah untuk mempromosi dan memasarkan produk kraf terus kepada pengguna; memperluaskan pasaran kraf; memberi kesedaran dan maklumat terkini mengenai industri kraf negara serta menanam minat pengguna terhadap kraf tempatan.

Aktiviti Utama yang diketengahkan sepanjang penganjuran ini ialah Jualan Produk Kraf, Pameran Dan Jualan Produk Baru, Pameran Landskap & Seni Taman, Demonstrasi Kembang Api, Demonstrasi Masakan & Kuih Tradisional dan Interaktif Kraf. Turut diadakan juga sempena festival ini ialah Aktiviti Galakan Pengunjung seperti Persembahan Kesenian, Permainan & Pertandingan Congkak, Persembahan Karaoke Rakyat, Idola FKJ 2014, Persembahan Artis Akademi Fantasia, Tazkirah Laman Rohani, Mini Pesta Buku, Seni Khat@Craft, Roda Klasik@Craft, Si Comel Meow@Craft, Warna-Warni@Craft dan Bonsai @Craft - TAMAT.

Untuk maklumat lanjut, hubungi :
KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN JOHOR
LOT PTB2002, JALAN CENDERASARI
OFF JALAN DATIN HALIMAH
80350 LARKIN, JOHOR  Ɩ  TEL : 07- 235 0431  Ɩ  LAYARI : www.festival.kraftangan.gov.my


Selasa, 16 Disember 2014

PELANCARAN PORTAL DAN SIDANG MEDIA FESTIVAL KRAF JOHOR 2014



JOHOR BAHRU, 16 DISEMBER 2014 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Pelancaran Portal dan Sidang Media sempena Festival Kraf Johor 2014 oleh Puan Rugayah binti Mohd Salleh, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor bertempat di Kraftangan Malaysia Cawangan Johor. Hadir sama ialah Encik Abdul Manan bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia.

Sidang Media ini diadakan bertujuan untuk memaklumkan kepada pihak media mengenai satu portal khas yang diwujudkan oleh Kraftangan Malaysia bagi memberikan informasi kepada masyarakat umum mengenai Festival Kraf Johor 2014.

Festival Kraf Johor 2014 merupakan satu aktiviti mempromosi produk-produk kraf tempatan yang berlangsung mulai 18 hingga 31 Disember 2014 bermula dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall. Penganjuran Festival Kraf Johor 2014 merupakan kali ke-4 diadakan dan dijadikan sebagai acara tahunan setelah mendapat maklum balas positif yang diterima daripada pengunjung dan pengguna kraf di selatan tanah air sejak mula diperkenal pada tahun 2011.

Objektif utama penganjuran Festival Kraf Johor ialah untuk mempromosi dan memasarkan produk kraf terus kepada pengguna; memperluaskan pasaran kraf; memberi kesedaran dan maklumat terkini mengenai industri kraf negara serta menanam minat pengguna terhadap kraf tempatan.

Aktiviti Utama yang diketengahkan sepanjang penganjuran ini ialah Jualan Produk Kraf, Pameran Dan Jualan Produk Baru, Pameran Landskap & Seni Taman, Demonstrasi Kembang Api, Demonstrasi Masakan & Kuih Tradisional dan Interaktif Kraf. Turut diadakan juga sempena festival ini ialah Aktiviti Galakan Pengunjung seperti Persembahan Kesenian, Permainan & Pertandingan Congkak, Persembahan Karaoke Rakyat, Idola FKJ 2014, Persembahan Artis Akademi Fantasia, Tazkirah Laman Rohani, Mini Pesta Buku, Seni Khat @Craft, Roda Klasik@Craft, Si Comel Meow@Craft, Warna-Warni @Craft dan Bonsai @Craft.

Festival Kraf Johor merupakan penjenamaan semula nama aktiviti yang sebelum ini dikenali dengan Promosi Kraf Malaysia Peringkat Negeri Johor. Penjenamaan semula ini dilihat lebih bertepatan dengan konsep serta tambahan aktiviti baru yang diketengahkan. Penggunaan nama Negeri Johor memenuhi sasaran sebagai ruang promosi yang diwujudkan oleh Kraftangan Malaysia bagi hub pemasaran kraf di zon selatan tanah air. Penggunaan nama Negeri Johor itu juga tidak membataskan penyertaan usahawan dari lain-lain negeri. Penyertaan usahawan daripada pelbagai bidang kraf dari seluruh Malaysia merupakan dokongan utama menjayakan festival seumpama ini.

Untuk maklumat lanjut, hubungi :
KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN JOHOR
LOT PTB2002, JALAN CENDERASARI
OFF JALAN DATIN HALIMAH

80350 LARKIN, JOHOR  Ɩ  TEL : 07- 235 0431  Ɩ  LAYARI : www.festival.kraftangan.gov.my

Selasa, 2 Disember 2014

HARI KELUARGA MOTAC 2014


Dijemput semua anggota kerja Kraftangan Malaysia di seluruh negara menyertai Hari Keluarga Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pada 13 Disember 2014 di Taman Equestrian Putrajaya. Kraftangan Malaysia akan berada di Kumpulan Kuning. Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Encik Mohamad Rozaiham bin Mat Ali, Bahagian Kewangan dan Pembangunan Ibu Pejabat, di talian 03-21627459 ext 251. Kehadiran anda amat dialu-alukan. 

"MARI KITA ERATKAN SILATURRAHIM"



Cadangan T-Shirt Kumpulan Kuning 


Isnin, 1 Disember 2014

MAHA 2014

Kraftangan Malaysia telah menyertai pameran MAHA 2014 anjuran Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani. Pameran yang bertemakan Agroteknologi Pemangkin Transformasi ini telah diadakan pada 20 hingga 30 November 2014 di MAEPS, Serdang.




FESTIVAL KRAF JOHOR 2014


Hampir 300 usahawan kraf terdiri daripada pelbagai bidang kraf akan terlibat dalam penjualan produk kraf tempatan. Datanglah beramai-ramai! Jumpa disana... 

PERLANTIKAN ADIGURU KRAF 2014

KOTA BHARU, 25 NOVEMBER 2014 –Kraftangan Malaysia  agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Majlis Menandatangani Watikah Perlantikan Adiguru Kraf.  Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohd. Kamil bin Mohd. Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia bertempat di Kampung Penambang, Kota Bharu. Hadir sama ialah Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Encik Juhari bin Azmi.

Majlis pada hari ini, menyaksikan Puan Hajah Kelthom binti Haji Hussein, 68 tahun, pengusaha syarikat Che Minah Songket dilantik sebagai Adiguru Kraf bagi tahun 2014.

Penghargaan kepada Adiguru Kraf diberikan kepada Adiguru kraf tempatan yang berkemahiran tinggi dan memberikan sumbangan yang besar dalam membangun dan mengembangkan seni kraf negara. Adiguru Kraf ialah seseorang yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai seorang tokoh setelah mereka menepati kriteria-kriteria iaitu:

  1. Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang kraf kepakarannya atau ahli di dalam seni kemahiran ketukangan, penciptaan, penggubahan dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa Malaysia
  2. Memainkan peranan penting dalam usaha memulih dan memelihara seni kraf warisan
  3. Bersungguh-sungguh menurunkan kemahiran kepada kumpulan pelapis agar seni kraf warisan berkenaan mempunyai kesinambungan
  4. Kreatif dan inovatif dalam usaha memaju dan meningkatkan kualiti produk kraf yang dihasilkan

Menerusi pelantikan ini, Adiguru Kraf yang dilantik menikmati pemberian wang sagu hati berjumlah RM5,000.00 serta menerima elaun bulanan RM500.00 sebulan mulai bulan Januari 2015. Pelantikan Puan Hajah Kelthom binti Haji Hussein sebagai Adiguru Kraf merupakan yang pertama bagi tahun 2014, dan bakal disusuli dengan pelantikan seorang lagi Adiguru Kraf dalam bidang anyaman dari Negeri Sarawak pada bulan Disember ini.

Jumlah keseluruhan Adiguru Kraf termasuk pelantikan kedua-dua Adiguru Kraf tahun ini, kini berjumlah seramai 51 orang sejak mula diperkenal pada tahun 1987. Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut seramai 18 orang Adiguru Kraf sudah meninggal dunia. Yang Berbahagia Dato’ Ketua Pengarah serta para tetamu kemudiannya meneruskan lawatan ke Pameran Produk Adiguru yang dipamerkan di bengkel.

Jumaat, 28 November 2014

KIOSK TEMPAHAN MYTEKSI KINI DI KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyediakan Pelan Induk Pelancongan Kuala Lumpur 2015-2025 untuk merangka pelan tindakan yang akan melancarkan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan utama. Pelbagai inisiatif telah dirangka untuk dilaksanakan selaras dengan status Kuala Lumpur yang popular sebagi destinasi bandar raya pelancongan global dan dalam masa yang sama popularitinya perlu dikekalkan untuk jangka masa panjang.

Salah satu inisiatif utama yang dikenal pasti adalah untuk memudahkan sistem pengangkutan awam yang komprehensif dan mudah untuk para pelancong. Ini termasuk menggalakkan penggunaan platform tempahan teksi mudah alih untuk pelancong dan juga menubuhkan kiosk tempahan teksi di tempat pelancongan terpilih di sekitar Kuala Lumpur termasuklah di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. DBKL dengan kerjasama MyTeksi melancarkan kiosk tempahan teksi yang juga bertindak sebagai pusat maklumat Melawat KL untuk kemudahan pelancong.

Pelancong kini dapat menggunakan aplikasi MyTeksi di kiosk MyTeksi yang terletak di Lobi Bangunan Seri Anjung, Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Kiosk ini mempunyai dua fungsi iaitu:
  • Tempahan teksi yang selamat dan boleh dipercayai menggunakan aplikasi mudah alih MyTeksi
  • Sumber maklumat tentang perlancongan di Kuala Lumpur melalui laman web VisitKL.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Datuk Bandar Kuala Lumpur, Kraftangan Malaysia dan MyTeksi Sdn Bhd telah diadakan pada 26 November yang lalu di Laman Wau, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.





Jumaat, 14 November 2014

KEPULANGAN YANG DINANTI

Alhamdulillah.. ayahanda kami, Tuan Haji Misroni bin Haji Sulaiman, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia telah selamat kembali ke tanah air pada 3 November 2014 yang lalu. Untuk makluman, Tuan Haji Misroni adalah salah seorang tetamu jemputan Allah SWT ke tanah suci bagi tahun 1435H/2014M. Beliau telah kembali bertugas pada 6 November 2014 (Khamis) yang lalu. 

Hampir 22,000 jemaah haji Malaysia dipilih untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim kali ini. Penerbangan terakhir haji telah selamat tiba di tanah air pada 7 November 2014. Semoga Tuan Haji Misroni sentiasa diberi kesihatan yang baik untuk meneruskan kembali agenda dan aktiviti Kraftangan Malaysia yang telah dirancang agar berjalan dengan lancar dan teratur. InsyaAllah...

Rabu, 12 November 2014

MAJLIS KONVOKESYEN IKN KALI KE-13

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan & Kebudayaan Malaysia kerana sudi melapangkan masa pada hadir ke Majlis Konvokesyen Institut Kraf Negara kali Ke -13 pada 6 November 2014 (Khamis) yang lalu bagi menyempurnakan Penganugerahan Diploma dan Sijil kepada graduan  sesi pengajian 2013 / 2014. Seramai 119 graduan terdiri daripada 65 orang penerima Diploma dan 54 orang penerima Sijil. 

Pelajar terbaik keseluruhan peringkat Diploma sesi pengajian 2013/2014 dianugerahkan kepada  ALISTA SATUR dan pelajar terbaik keseluruhan peringkat Sijil  dianugerahkan kepada  MOHAMAD ANUAR FAHMIE BIN MOHD SUZARI. 

Berikut merupakan senarai nama Anugerah Pelajar Terbaik Mengikut Jurusan : 

PELAJAR TERBAIK PERINGKAT DIPLOMA MENGIKUT JURUSAN

Jurusan  Senikraf Batik      
ANDREW ANAK STEPHEN
Jurusan Senikraf Tenunan  
AZMEER BIN SHARKAWI
Jurusan Senikraf Kayu      
MOHAMAD SHAFIQ BIN REDZUAN
Jurusan Senikraf Logam    
AHMAD SYAMIM SYARAFUDDIN BIN NASAR
Jurusan Senikraf Seramik  
SITI AISHAH BINTI HASSAN
Jurusan Senikraf Rotan & Buluh
ALISTA SATUR

PELAJAR TERBAIK PERINGKAT SIJIL MENGIKUT JURUSAN

Jurusan  Senikraf Batik      
MOHAMAD ANUAR FAHMIE BIN MOHD SUZARI
Jurusan Senikraf Tenunan  
NURUL ASHIKIN BINTI RAHMAN
Jurusan Senikraf Kayu      
MOHD RAZIF BIN ARSAN
Jurusan Senikraf Logam    
MUHAMMAD SHAFIQ SANI BIN MOHAMMAD NOR
Jurusan Senikraf Seramik  
IZUDDIN BIN ISHAM
Jurusan Senikraf Rotan & Buluh
MUHAMAD FATHURRAHMAN BIN MOHAMAD SHUKRI                                                                                     

Menteri melihat hasilan produk pelajar
Sebahagian graduan yang menerima diploma dan sijil
Pelajar terbaik keseluruhan diploman dan sijil bersama Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz  













Selasa, 4 November 2014

SYABAS DAN TAHNIAH!



Bahagian Komunikasi Korporat mengucapkan syabas dan tahniah kepada Encik Abdul Manan bin Ismail, Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia dan Puan 'Ainu Sham binti Haji Ramli, Pengarah Bahagian Strategi Korporat Kraftangan Malaysia. Mereka telah dianugerahkan Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada istiadat konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia ke 42 pada 2 November 2014 yang lalu. Tahniah!

PROMOSI HIASAN DALAMAN DAN SENI TAMAN 2014

Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2014 telah diadakan pada 23 Oktober hingga 3 November 2014 yang lalu. Sidang media promosi ini telah diadakan 15 Oktober 2014 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini adalah Jualan, Pameran Kraf, Persembahan Kesenian, Lawatan Berpandu Berkumpulan, Pameran dan Jualan Karya Catan Hiasan, Si Comel Meow @ Craft, Pertandingan Seni Kreatif, Bengkel dan Demonstrasi, Bicara Kreatif, Perkhidmatan Jahitan dan Dekorasi. 
Kraftangan Malaysia merakamkan penghargaan kepada media cetak dan elektronik yang banyak memberi sokongan sebelum dan selepas program ini berlangsung. Terima kasih tidak terhingga juga kepada usahawan yang menyertai pameran ini, dan pengunjung yang hadir bagi memeriahkan suasana. Kita jumpa lagi di promosi akan datang... InsyaAllah. 



Tuan Haji Shahrudin Mohd Nor,
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan


Encik Sahaimi Abd Manaf,
Pengarah Bahagian Pasaran dan Promosi 



Encik Abdul Manan bin Ismail,
Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat

Encik Abdul Halim bin Ali,
Timbalan Pengarah Bahagian Rekaan






Jumaat, 31 Oktober 2014

KELAHIRAN ORANG BARU


Banyak khabar gembira diterima sepanjang bulan ini... 
Anggota kerja Bahagian Komunikasi Korporat, Kraftangan Malaysia Encik Mohd Azlan bin Omar Baki telah menerima kehadiran cahayamata kedua yang diberi nama Raaid Rayqal bin Mohd Azlan. Bayi comel ini dilahirkan di Hospital Putrajaya pada 22 Oktober 2014 bersamaan 27 Zulhijjah 1435 yang lalu. Semoga anak ini membesar dengan sihat dan menjadi anak yang soleh. 
Tahniah daripada kami  kepada Encik Azlan dan isteri dengan kehadiran orang baru!

Jumaat, 24 Oktober 2014

SIDANG MEDIA PROMOSI KRAF MALAYSIA BINTANG MEGAMALL, MIRI

MIRI, 24 OKTOBER 2014 - Kraftangan Malaysia  agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan hari ini mengadakan Sidang Media sempena Promosi Kraf Malaysia di Ground Floor, New Wing Bintang Megamall Miri, Sarawak. Majlis dihadiri oleh Yang Berhormat Encik Dennis Ngau, Ahli Dewan Undangan Negeri N.67 Telang Usan. Turut hadir ialah Encik Azran Arip, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak.

Promosi ini diadakan bertujuan menggalakkan serta memberi peluang kepada usahawan kraf Malaysia dalam mempromosi dan memasarkan produk kraf keluaran mereka di pusat tumpuan pengunjung. Selain itu menerusi promosi seumpama ini juga mampu mengetengahkan produk-produk kraf keluaran tempatan bagi penggunaan produk kraf Malaysia dalam kehidupan seharian serta menggalakkan pelancong-pelancong untuk mendapatkan kraf buatan Malaysia sebagai ‘momento’.

Promosi Kraf Malaysia ini bermula 24 Oktober hingga 2 November (10 hari) dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Bintang Megamall Miri. Penganjuran ini merupakan julung kali diadakan di lokasi ini mengetengahkan aktiviti seperti Jualan Kraf dan Persembahan Kesenian & Kebudayaan.

JUALAN KRAF – Seramai 64 usahawan kraf dari pelbagai bidang iaitu tekstil (11usahawan), hasil rimba (15 usahawan), hasil tanah (5 usahawan), logam (3 usahawan) dan aneka kraf (30 usahawan) mengambil bahagian dalam aktiviti jualan sempena promosi ini. Usahawan yang terlibat ini adalah dari negeri Sarawak (46 orang), Kelantan (7 orang), Sabah (4 orang), Selangor/Kuala Lumpur (5 orang) dan Melaka (2 orang) .

PERSEMBAHAN KESENIAN & KEBUDAYAAN – Kraftangan Malaysia juga turut mengadakan persembahan kesenian dan kebudayaan kepada pengunjung pada setiap hujung minggu dengan kerjasama pengurusan Bintang Megamall mengetengahkan aktiviti-aktiviti seperti Pertandingan Little Prince & Princess Costume pada 25 Oktober (Sabtu), Pertandingan Mewarna Batik - Clown & Mascot pada 26 Oktober (Ahad), Pertandingan Nyanyian pada 1 November (Sabtu) serta Pertandingan Pakaian Tradisi untuk Kanak-kanak dan Pertandingan Menghias Kek pada 2 November (Ahad). – TAMAT.


PENGARAH
KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN SARAWAK
LOT 3075 BLOK 18, DAERAH SALAK
PETRA JAYA, JALAN STADIUM
93050 KUCHING SARAWAK

Tel: 082 – 444 205

Isnin, 20 Oktober 2014

SELAMAT HARI DEEPAVALI 2014


Pada 22 Oktober 2014, masyarakat India Malaysia yang beragama Hindu akan menyambut Hari Deepavali atau Pesta Cahaya. Perayaan ini disambut sebagai tanda simbolik bagi menyatakan kebaikan mengatasi kejahatan berikutan dengan dewa Hindu, Krishna menumpaskan Naragasura yang merupakan makhluk jahat yang telah mengancam kebahagian penduduk dunia. 
Sempena dengan perayaan ini, marilah kita sama-sama mengunjung ke rumah rakan-rakan yang menyambutnya. Semoga dengan kehadiran kita, dapat mengeratkan perasaan muhibah rakyat Malaysia. Selamat Hari Deepavali. 

Jumaat, 17 Oktober 2014

KRAFTANGAN MENANG PERTANDINGAN HAVEA KREATIF ANJURAN RISDA


KELAHIRAN ORANG BARU

Warga kerja Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia menzahirkan perasaan gembira dan mengucapan tahniah kepada Puan Farah Sufiana binti Razali, anggota kerja Bahagian Komunikasi Korporat dan pasangannya atas kelahiran cahaya mata sulung mereka. Putera lelaki yang diberi nama Muhammad Nur Ezra bin Md Zaki selamat dilahirkan pada 15 Oktober 2014 jam 5.00pagi di HUKM, Cheras. 
Semoga anak ini membesar dengan sihat dan menjadi anak yang soleh. Tahniah! 

Khamis, 16 Oktober 2014

SIDANG MEDIA PROMOSI HIASAN DALAMAN DAN SENI TAMAN

Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia kerana sudi hadir di Majlis Sidang Media Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2014. Majlis tersebut  telah diadakan pada 15 Oktober 2014 (Rabu) bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Penghargaan terima kasih juga diucapkan kepada rakan media kerana sudi hadir pada majlis ini. 

Untuk makluman,  Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman yang diadakan mulai 23 Oktober hingga 3 November 2014, dari jam 10.00 pagi – 10.00 malam. Promosi ini merupakan penganjuran ke-8 oleh Kraftangan Malaysia dalam mempromosikan produk kraf bagi hiasan dalaman dan seni taman yang berilhamkan alam semula jadi. Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti Jualan dan Pameran seperti perabot taman, pergola, kabinet dapur, kolam hiasan hinggalah tumbuhan bunga hiasan akan dipromosikan oleh 250 orang usahawan kraf serta syarikat perkhidmatan hiasan dalaman dan seni taman.

Jangan ketinggalan. Datanglah beramai-ramai! 





Jumaat, 10 Oktober 2014

LAWATAN BERPANDU SEMPENA PROMOSI HIASAN DALAMAN DAN SENI TAMAN 2014

Kraftangan Malaysia akan menganjurkan Promosi Hiasan Dalaman & Seni Taman mulai 23 Oktober hingga 3 November 2014 bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Promosi yang bertemakan "Kraf Ceriakan Mahligai Anda" ini merupakan gabungan aktiviti mempromosikan produk kraf bagi hiasan dalaman dan seni taman yang berasas berta berilhamkan alam semula jadi serta kepelbagaian produk kraf buatan Malaysia. Pelaksanaan promosi kali yang ke-lapan (8) ini tetap diteruskan dengan konsep jualan, pameran dan pendidikan. manakala aktiviti sokongan seperti domonstrasi dan interaktif kraf, persembahan kesenian serta pameran dan jualan "Karya Catan Hiasan Dalaman" sebagai aktiviti tarikan pengunjung turut diadakan. 

Sehubungan itu, Kraftangan Malaysia berbesar hati ingin menjemput tuan/puan dan ahli rombongan ke promosi ini dengan menyertai aktiviti Lawatan Berpandu Berkumpulan. Kumpulan lawatan ini akan diraikan sebagai tetamu dan diiringi oleh pegawai bertugas bagi memberi penerangan dan ianya PERCUMA. 

Tuan/Puan boleh mengisi borang di link berikut ---> BORANG LAWATAN BERPANDU 
Maklumat lanjut boleh emel ke komplekskrafkl@kraftangan.gov.my atau hubungi 03-21611480 / 03-21613793

PERTANDINGAN LUKISAN SENI UNTUK HIASAN KEDIAMAN


Isnin, 22 September 2014

IBADAH HAJI 1435H/2014M

Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia ingin mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Haji kepada anggota kerja Kraftangan Malaysia, usahawan kraf dan semua bakal jemaah haji Malaysia musim haji 1435H/2014M. 
Untuk makluman, Encik Misroni bin Haji Sulaiman, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat juga adalah salah seorang tetamu jemputan Allah SWT ke tanah suci pada tahun ini. Beliau akan mula bercuti pada 17 Oktober sehingga 5 November 2014.
Semoga semua jemaah selamat pergi dan kembali ke tanah air dengan selamat serta semoga mendapat haji mabrur,insyaAllah. 
Encik Misroni bin Sulaiman, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat

Isnin, 15 September 2014

TATTOO 2014



Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia akan menganjurkan Kuala Lumpur International Tattoo 2014 pada 10 Oktober hingga 12 Oktober 2014 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. 

Kuala Lumpur International Tattoo 2014 merupakan acara utama sempena VMY 2014 bagi membolehkan pelancong dalam dan luar negara serta rakyat Malaysia amnya menyaksikan satu pertunjukan istimewa yang memaparkan patriotism, semangat, ketangkasan dengan elemen-elemen kehebatan pasukan keselamatan negara-negara peserta. Program ini pernah diadakan pada tahun 2007. 


Antara negara yang bakal menyertai acara mega ini ialah Brunei Darussalam, India, New Zealand, Singapura, Thailand, Myanmar, Indonesia, United Kingdom, Turki, Korea Selatan dan Afrika Selatan. Manakala penyertaan dalam negara pula termasuklah dari Pasukan Wira Merah Kor Polis Tentera Di Raja Malaysia, Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia, Pancaragam Polis Di Raja Malaysia, Pancaragam Tentera Laut Di Raja Malaysia, Pancaragam Tentera Udara Di Raja Malaysia dan Kumpulan Kesenian pelbagai kaum di Malaysia. 

Pengunjung bakal disajikan dengan persembahan ketenteraan dan kepolisan seperti War Dances , Bag Pipes, Brass Band , Marching , Military Demo , Artilary Performances dan Acrobatic . Terdapat juga persembahan Bunga Api, seni budaya, Laser, Cahaya dan Muzik serta pameran. 

Semua kakitangan dan orang ramai adalah dijemput hadir dan memeriahkan lagi acara KL International Tattoo 2014. Masuk adalah percuma. 

Khamis, 11 September 2014

MAJLIS PERASMIAN PROMOSI KRAF MALAYSIA ‘POHPALEH PAHANG’

KUANTAN, 09 SEPTEMBER 2014 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Majlis Perasmian Promosi Kraf Malaysia ‘Pohpaleh Pahang’ yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj bertempat di East Coast Mall, Kuantan.

Hadir sama Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Sharkar Bin Haji Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang dan Yang Hormat Dato’ Mohd Zubair Mohd Zain, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang.

Majlis ini adalah bersempena penganjuran kali ke-6 Promosi Kraf Malaysia yang sedang bermula 9 - 14 September 2014 mulai jam 10.00 pagi - 10.00 malam bertempat di East Coast Mall, Pahang. Aktiviti-aktiviti yang diadakan seperti Jualan Kraf oleh 53 usahawan kraf, Peragaan Pakaian Batik Negeri Pahang, Pameran Produk Pahang, Interaktif dan Edu Kraf serta Kaunter Maklumat Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

Promosi Kraf Malaysia diadakan dengan tujuan mempromosikan produk kraf tempatan bagi memenuhi pasaran domestik. Malah kunjungan pelancong dari luar negara turut berpeluang melihat keunikan dan keindahan produk kraf tempatan yang dianjurkan di lokasi tumpuan ramai ini. Penganjuran di East Coast Mall ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung sejak diperkenalkan pada tahun 2009 lagi.

Bersempena majlis ini juga, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang turut melancarkan penjenamaan produk Negeri Pahang iaitu PAHANG PRIDE yang dipilih bagi menunjukkan rasa bangga dan teruja terhadap keluaran produk Negeri Pahang.

Objektif program penjenamaan ini ialah bagi mewujudkan satu jenama khusus bagi produk-produk yang dihasilkan Negeri Pahang oleh usahawan-usahawan tempatan. Selain itu, penjenamaan ini juga merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang berdaya saing dalam memajukan produk-produk keluaran Negeri Pahang dan secara langsung dapat memperkenalkan produk-produk keluaran Negeri Pahang.

Bagi peringkat permulaan, sebanyak enam agensi perlaksanaan diangkat sebagai perintis dalam program berkenaan di mana semua usahawan dan produk terpilih adalah di bawah penyelarasan agensi berkenaan iaitu Kraftangan Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), SIRIM, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), manakala Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) bertindak selaku urus setia pelaksanaan program PAHANG PRIDE.

Rabu, 27 Ogos 2014

MAJLIS PELANCARAN JENAMA "PREKA"

Jenama Preka merupakan singkatan perkataan Pereka, iaitu pereka-pereka Kraftangan Malaysia yang komited di dalam menghasilkan rekaan-rekaan baru produk kraf tempatan dengan kerjasama pengusaha-pengusaha kraf tempatan dari pelbagai bidang kemahiran kraf (kayu, anyaman, tenunan, logam, seramik dan aneka kraf). Jenama Preka bukan sekadar pada jenama sahaja, malah produk yang dihasilkan melalui jenama ini boleh diperoleh di rangkaian kedai jenama Preka yang terdapat di beberapa tempat mengikut segmen produk seperti hadiah & cenderamata pelancong/korporat, pakaian dan aksesori, seramik dan hiasan dalaman. Antara outlet-outlet  jenama Preka yang telah beroperasi adalah seperti yang berikut: 
  • Kompleks Kraf Kuala Lumpur (Pakaian, aksesori, hadiah & cenderamata dan hiasan dalaman).
  • Preka Ceramics di Kompleks Kraf Kuala Lumpur (Produk seramik hiasan, cenderamata & hadiah, seramik taman).
  • Menara MARA, Kuala Lumpur (Produk hadiah dan cenderamata korporat).
  • Kompleks Kraf Langkawi (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
  • Pantai Tengah, Langkawi (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata dan hiasan dalaman)
  • Pasar Seni, Kuala Lumpur (Produk hadiah dan cenderamata pelancong berasaskan veneer & kayu)
  • ATV Adventure Park, Bukit Larut, Perak (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata).
  • Kg. Genting, Pulau Tioman kerjasama di antara pemilik kedai cenderamata (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
  • Kg Salang di Pulau Tioman kerjasama di antara pemilik kedai cenderamata (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
  • Telaga Harbour Langkawi kerjasama di antara pemilik kedai cenderamata (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
  • Malaysia Crafts Kiosk, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
   Majlis pelancaran jenama "Preka" ini akan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Sohaimi Shahadan, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada 28 Ogos 2014 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur