Jumaat, 28 November 2014

KIOSK TEMPAHAN MYTEKSI KINI DI KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyediakan Pelan Induk Pelancongan Kuala Lumpur 2015-2025 untuk merangka pelan tindakan yang akan melancarkan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan utama. Pelbagai inisiatif telah dirangka untuk dilaksanakan selaras dengan status Kuala Lumpur yang popular sebagi destinasi bandar raya pelancongan global dan dalam masa yang sama popularitinya perlu dikekalkan untuk jangka masa panjang.

Salah satu inisiatif utama yang dikenal pasti adalah untuk memudahkan sistem pengangkutan awam yang komprehensif dan mudah untuk para pelancong. Ini termasuk menggalakkan penggunaan platform tempahan teksi mudah alih untuk pelancong dan juga menubuhkan kiosk tempahan teksi di tempat pelancongan terpilih di sekitar Kuala Lumpur termasuklah di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. DBKL dengan kerjasama MyTeksi melancarkan kiosk tempahan teksi yang juga bertindak sebagai pusat maklumat Melawat KL untuk kemudahan pelancong.

Pelancong kini dapat menggunakan aplikasi MyTeksi di kiosk MyTeksi yang terletak di Lobi Bangunan Seri Anjung, Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Kiosk ini mempunyai dua fungsi iaitu:
  • Tempahan teksi yang selamat dan boleh dipercayai menggunakan aplikasi mudah alih MyTeksi
  • Sumber maklumat tentang perlancongan di Kuala Lumpur melalui laman web VisitKL.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Datuk Bandar Kuala Lumpur, Kraftangan Malaysia dan MyTeksi Sdn Bhd telah diadakan pada 26 November yang lalu di Laman Wau, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan