Rabu, 21 Mei 2014

PENGUMUMAN KEMANGKATAN YANG TERAMAT MULIA TUNKU BENDAHARA KEDAH

Bismillah Hirrahmanirrohim
Bahawa dengan sedih dan dukacitanya dimaklumkan Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, telah mangkat di Hospital Pantai Ipoh, Perak pada pukul 12.20 pagi,  hari Rabu, 21 haribulan Mei 2014 Masihi, bersamaan 21 Rejab 1435 Hijriah.
Jenazah Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku akan disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit, Alor Setar bagi maksud penghormatan terakhir pada sebelah pagi oleh para pembesar dan orang kenamaan, manakala oleh orang ramai mulai pukul 1 petang hingga 3 petang.
Jenazah Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan dimakamkan di Makam Di Raja Langgar selepas solat Asar pada hari ini, Rabu, 21 Mei 2014 Masehi, bersamaan 21 Rejab 1435 Hijriah.
Bendera Negeri, Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan pada separuh tiang selama tiga hari mulai 21 Mei 2014.  Tempoh perkabungan adalah selama tiga hari mulai 21 Mei 2014 sehingga   23 Mei 2014. Sepanjang tempoh tersebut, semua bentuk hiburan,  keramaian dan perayaan adalah dibatalkan.
Sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Yang Teramat Mulia   Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, hari ini, Rabu, 21 Mei 2014,  diisytiharkan sebagai hari cuti peristiwa bagi seluruh Negeri Kedah Darul Aman.
Marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, semoga roh Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para syuhadah dan solihin.

DATO' SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Menteri Besar Kedah Darul Aman
Tarikh : 21 Mei 2014

Jumaat, 16 Mei 2014

SELAMAT HARI GURU 2014

Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia. Dengan membawa tema "Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi", jasa semua guru yang mengajar tanpa keluhan amatlah dihargai. Hari ini, kita mampu berdiri dengan bangga kerana ada di antara kita adalah usahawan, penjawat awam, doktor, majistret, arkitek dan lain-lain. Selain kedua ibu bapa, guru adalah pembimbing kita dari kita mula mengenal huruf hingga berjaya. Jangan lupa ucapkan Selamat Hari Guru dan terima kasih kepada guru-guru kamu! =) 

PENIPUAN PAKEJ UMRAH



Berdasarkan laporan, tahun demi tahun  penipuan dan penyelewengan agensi pengendali pakej haji & umrah meningkat berdasarkan statistik kes yang difailkan  di Tribunal Tuntutan  Pengguna Malaysia (TTPM). Selain itu, kes penipuan pakej umrah ini kerap kali dibentangkan melalui Mesyuarat Pengurusan Aduan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.



Justeru, warga Kraftangan Malaysia yang berhasrat untuk menunaikan umrah disarankan agar lebih berhati-hati memilih agensi dan pakej-pakej yang ditawarkan. Sebarang harga luar biasa atau promosi yang ditawarkan mungkin di sebaliknya ada isu sama ada wujud kos tersembunyi atau sindiket palsu yang menipu semata-mata. Semua dinasihatkan agar lebih berwaspa dengan agensi-agensi yang bersembunyi disebalik nama-nama seperti Vacation, Kembara, Holiday, Hospitality dan agensi-agensi yang menggunakan nama tertentu serta selebriti sebagai tarikan kepada pelanggan. Namun, individu atau orang perseorangan juga dikhuatiri menawarkan pakej umrah palsu kepada pelanggan.



Kesimpulannya, kepada Warga Kraftangan Malaysia yang ingin menjalankan Ibadah Umrah perlu lebih prihatin dan menyelidiki terlebih dahulu agensi berkaitan yang sememangnya menawarkan pakej yang telus kepada jemaah. Kaedah ini boleh dilakukan dengan menghubungi Bahagian Perlesenan Pelancongan (PLN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk mendapatkan pengesahan agensi berkaitan ditalian 03-8891 7210 / 03-8000 8000.


                                          ‘Jangan tertipu seperti orang lain yang telah ditipu’

PERTANDINGAN MENULIS ESEI SENI KRAF MALAYSIA 2014

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia akan menganjurkan Pertandingan Menulis Esei Seni Kraf Malaysia sempena Kempen Nilai-Nilai Murni 2014.

Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kecintaan masyarakat terhadap industri kraf negara.  Penyertaan pertandingan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas dan tarikh tutup pertandingan adalah 
pada 30 Jun 2014.



Sebarang pertanyaan mengenai pertandingan ini, sila hubungi talian 03-2162 7459 / 2162 7533 sambungan 372 / 272 / 326 atau emel kepada eseikraf2014@kraftangan.gov.my.

PROMOSI KRAF MALAYSIA, PORT DICKSON

 JUALAN KRAF
·  Jualan produk kraf melibatkan antara 20 hingga 25 pengusaha kraf merangkumi batik, tenunan, songket, rotan, buluh, kayu, aksesori dan perhiasan diri.

 MASAKAN TRADISIONAL
·       Demonstrasi dan jualan produk masakan tradisional seperti lemang, rendang, dodol, bahulu dan lain-lain.

 INTERAKTIF KRAF
·       Memberi pendedahan dan peluang kepada pengunjung untuk menghasilkan produk kraf sendiri. Aktiviti interaktif yang dijalankan seperti Menganyam Bakul Rotan, Mewarna Bekas Seramik dan Mewarna Tabung Buluh.

 PERSEMBAHAN KESENIAN
·      Mengenengahkan persembahan kumpulan muzik kesenian tradisional dan kontemporari seperti persembahan Caklempong, Irama Melayu Asli dan Balle-Balle.




PROMOSI KRAF MALAYSIA
MUZIUM TENTERA DARAT PORT DICKSON
30 MEI HINGGA 5 JUN 2014

9.00 PAGI HINGGA 6.00 PETANG

Rabu, 14 Mei 2014

UCAPAN TAKZIAH

Takziah kepada keluarga usahawan kraf Encik Pion Anak Bumbong (Pak Pion) yang telah meninggal dunia pada 10 Mei 2014 (Sabtu) di Kampung Sungai Bumbun,Pulau Carey, Selangor. Beliau merupakan merupakan Adiguru Kraf (Orang Asli Mah Meri) dari Pulau Carey dan amat terkenal dengan ukiran patungnya.

Pion Anak Bumbong


Antara hasil ukiran Pak Pion





Khamis, 8 Mei 2014

TAKZIAH DAN AL-FATIHAH

Takziah kepada keluarga Allahyarham Noor Fitry Bin Abdul Razak, Usahawan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan yang telah kembali ke rahmatullah pada 7 Mei 2014 (Rabu) di Kampung Dioh,Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Allahyarham merupakan usahawan muda kraf buluh yang kreatif dan berbakat.Bersama-samalah kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan amal soleh. AL-FATIHAH

Allahyarham Noor Fitry bin Abdul Razak

Allahyarham dan rakan-rakan usahawan di Pusat Inkubator Kraf, Simpang Pertang

Temuramah bersama Allahyarham di Buletin Kraf edisi 4