Khamis, 11 September 2014

MAJLIS PERASMIAN PROMOSI KRAF MALAYSIA ‘POHPALEH PAHANG’

KUANTAN, 09 SEPTEMBER 2014 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Majlis Perasmian Promosi Kraf Malaysia ‘Pohpaleh Pahang’ yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj bertempat di East Coast Mall, Kuantan.

Hadir sama Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Sharkar Bin Haji Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang dan Yang Hormat Dato’ Mohd Zubair Mohd Zain, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang.

Majlis ini adalah bersempena penganjuran kali ke-6 Promosi Kraf Malaysia yang sedang bermula 9 - 14 September 2014 mulai jam 10.00 pagi - 10.00 malam bertempat di East Coast Mall, Pahang. Aktiviti-aktiviti yang diadakan seperti Jualan Kraf oleh 53 usahawan kraf, Peragaan Pakaian Batik Negeri Pahang, Pameran Produk Pahang, Interaktif dan Edu Kraf serta Kaunter Maklumat Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

Promosi Kraf Malaysia diadakan dengan tujuan mempromosikan produk kraf tempatan bagi memenuhi pasaran domestik. Malah kunjungan pelancong dari luar negara turut berpeluang melihat keunikan dan keindahan produk kraf tempatan yang dianjurkan di lokasi tumpuan ramai ini. Penganjuran di East Coast Mall ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung sejak diperkenalkan pada tahun 2009 lagi.

Bersempena majlis ini juga, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang turut melancarkan penjenamaan produk Negeri Pahang iaitu PAHANG PRIDE yang dipilih bagi menunjukkan rasa bangga dan teruja terhadap keluaran produk Negeri Pahang.

Objektif program penjenamaan ini ialah bagi mewujudkan satu jenama khusus bagi produk-produk yang dihasilkan Negeri Pahang oleh usahawan-usahawan tempatan. Selain itu, penjenamaan ini juga merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang berdaya saing dalam memajukan produk-produk keluaran Negeri Pahang dan secara langsung dapat memperkenalkan produk-produk keluaran Negeri Pahang.

Bagi peringkat permulaan, sebanyak enam agensi perlaksanaan diangkat sebagai perintis dalam program berkenaan di mana semua usahawan dan produk terpilih adalah di bawah penyelarasan agensi berkenaan iaitu Kraftangan Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), SIRIM, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), manakala Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) bertindak selaku urus setia pelaksanaan program PAHANG PRIDE.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan