Isnin, 22 September 2014

IBADAH HAJI 1435H/2014M

Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia ingin mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Haji kepada anggota kerja Kraftangan Malaysia, usahawan kraf dan semua bakal jemaah haji Malaysia musim haji 1435H/2014M. 
Untuk makluman, Encik Misroni bin Haji Sulaiman, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat juga adalah salah seorang tetamu jemputan Allah SWT ke tanah suci pada tahun ini. Beliau akan mula bercuti pada 17 Oktober sehingga 5 November 2014.
Semoga semua jemaah selamat pergi dan kembali ke tanah air dengan selamat serta semoga mendapat haji mabrur,insyaAllah. 
Encik Misroni bin Sulaiman, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat

Isnin, 15 September 2014

TATTOO 2014



Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia akan menganjurkan Kuala Lumpur International Tattoo 2014 pada 10 Oktober hingga 12 Oktober 2014 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. 

Kuala Lumpur International Tattoo 2014 merupakan acara utama sempena VMY 2014 bagi membolehkan pelancong dalam dan luar negara serta rakyat Malaysia amnya menyaksikan satu pertunjukan istimewa yang memaparkan patriotism, semangat, ketangkasan dengan elemen-elemen kehebatan pasukan keselamatan negara-negara peserta. Program ini pernah diadakan pada tahun 2007. 


Antara negara yang bakal menyertai acara mega ini ialah Brunei Darussalam, India, New Zealand, Singapura, Thailand, Myanmar, Indonesia, United Kingdom, Turki, Korea Selatan dan Afrika Selatan. Manakala penyertaan dalam negara pula termasuklah dari Pasukan Wira Merah Kor Polis Tentera Di Raja Malaysia, Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia, Pancaragam Polis Di Raja Malaysia, Pancaragam Tentera Laut Di Raja Malaysia, Pancaragam Tentera Udara Di Raja Malaysia dan Kumpulan Kesenian pelbagai kaum di Malaysia. 

Pengunjung bakal disajikan dengan persembahan ketenteraan dan kepolisan seperti War Dances , Bag Pipes, Brass Band , Marching , Military Demo , Artilary Performances dan Acrobatic . Terdapat juga persembahan Bunga Api, seni budaya, Laser, Cahaya dan Muzik serta pameran. 

Semua kakitangan dan orang ramai adalah dijemput hadir dan memeriahkan lagi acara KL International Tattoo 2014. Masuk adalah percuma. 

Khamis, 11 September 2014

MAJLIS PERASMIAN PROMOSI KRAF MALAYSIA ‘POHPALEH PAHANG’

KUANTAN, 09 SEPTEMBER 2014 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Majlis Perasmian Promosi Kraf Malaysia ‘Pohpaleh Pahang’ yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj bertempat di East Coast Mall, Kuantan.

Hadir sama Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Sharkar Bin Haji Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang dan Yang Hormat Dato’ Mohd Zubair Mohd Zain, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang.

Majlis ini adalah bersempena penganjuran kali ke-6 Promosi Kraf Malaysia yang sedang bermula 9 - 14 September 2014 mulai jam 10.00 pagi - 10.00 malam bertempat di East Coast Mall, Pahang. Aktiviti-aktiviti yang diadakan seperti Jualan Kraf oleh 53 usahawan kraf, Peragaan Pakaian Batik Negeri Pahang, Pameran Produk Pahang, Interaktif dan Edu Kraf serta Kaunter Maklumat Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

Promosi Kraf Malaysia diadakan dengan tujuan mempromosikan produk kraf tempatan bagi memenuhi pasaran domestik. Malah kunjungan pelancong dari luar negara turut berpeluang melihat keunikan dan keindahan produk kraf tempatan yang dianjurkan di lokasi tumpuan ramai ini. Penganjuran di East Coast Mall ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung sejak diperkenalkan pada tahun 2009 lagi.

Bersempena majlis ini juga, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang turut melancarkan penjenamaan produk Negeri Pahang iaitu PAHANG PRIDE yang dipilih bagi menunjukkan rasa bangga dan teruja terhadap keluaran produk Negeri Pahang.

Objektif program penjenamaan ini ialah bagi mewujudkan satu jenama khusus bagi produk-produk yang dihasilkan Negeri Pahang oleh usahawan-usahawan tempatan. Selain itu, penjenamaan ini juga merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang berdaya saing dalam memajukan produk-produk keluaran Negeri Pahang dan secara langsung dapat memperkenalkan produk-produk keluaran Negeri Pahang.

Bagi peringkat permulaan, sebanyak enam agensi perlaksanaan diangkat sebagai perintis dalam program berkenaan di mana semua usahawan dan produk terpilih adalah di bawah penyelarasan agensi berkenaan iaitu Kraftangan Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), SIRIM, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), manakala Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) bertindak selaku urus setia pelaksanaan program PAHANG PRIDE.