Ahad, 28 Disember 2014

TAKZIAH PENUMPANG QZ8501


Takziah dari Kraftangan Malaysia buat penumpang mangsa nahas kapal terbang Air Asia QZ8501. Semoga keluarga & sahabat handai yang ditinggalkan diberi ketabahan serta kekuatan menghadapi musibah ini. Kita yang hidup mesti diteruskan, dari Allah SWT kita dtg kepada Allah SWT juga akhirnya kita kembali. Hanya doa yang mampu dikirim kepada mangsa tragedi. إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Khamis, 18 Disember 2014

MAJLIS PERASMIAN FESTIVAL KRAF JOHOR 2014

JOHOR BAHRU, 18 DISEMBER 2014 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan hari ini mengadakan Majlis Perasmian Festival Kraf Johor 2014 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan bertempat di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall.

Hadir sama Yang Berbahagia Datuk Dr. Ong Hong Peng, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Yang Berbahagia Datuk Hj. Ab. Ghaffar bin A.Tambi, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Yang Berusaha Encik Rashidi bin Hasbullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Yang Berusaha Dr Junaidah Lee binti Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Yang Berbahagia Dato’ Mohd Kamil bin Mohd Ali, Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Festival Kraf Johor 2014 merupakan satu aktiviti mempromosi produk-produk kraf tempatan yang berlangsung mulai 18 hingga 31 Disember 2014 bermula dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall.

Penganjuran Festival Kraf Johor 2014 merupakan kali ke-4 diadakan dan dijadikan sebagai acara tahunan setelah mendapat maklum balas positif yang diterima daripada pengunjung dan pengguna kraf di selatan tanah air sejak mula diperkenal pada tahun 2011.

Objektif utama penganjuran Festival Kraf Johor ialah untuk mempromosi dan memasarkan produk kraf terus kepada pengguna; memperluaskan pasaran kraf; memberi kesedaran dan maklumat terkini mengenai industri kraf negara serta menanam minat pengguna terhadap kraf tempatan.

Aktiviti Utama yang diketengahkan sepanjang penganjuran ini ialah Jualan Produk Kraf, Pameran Dan Jualan Produk Baru, Pameran Landskap & Seni Taman, Demonstrasi Kembang Api, Demonstrasi Masakan & Kuih Tradisional dan Interaktif Kraf. Turut diadakan juga sempena festival ini ialah Aktiviti Galakan Pengunjung seperti Persembahan Kesenian, Permainan & Pertandingan Congkak, Persembahan Karaoke Rakyat, Idola FKJ 2014, Persembahan Artis Akademi Fantasia, Tazkirah Laman Rohani, Mini Pesta Buku, Seni Khat@Craft, Roda Klasik@Craft, Si Comel Meow@Craft, Warna-Warni@Craft dan Bonsai @Craft - TAMAT.

Untuk maklumat lanjut, hubungi :
KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN JOHOR
LOT PTB2002, JALAN CENDERASARI
OFF JALAN DATIN HALIMAH
80350 LARKIN, JOHOR  Ɩ  TEL : 07- 235 0431  Ɩ  LAYARI : www.festival.kraftangan.gov.my


Selasa, 16 Disember 2014

PELANCARAN PORTAL DAN SIDANG MEDIA FESTIVAL KRAF JOHOR 2014



JOHOR BAHRU, 16 DISEMBER 2014 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Pelancaran Portal dan Sidang Media sempena Festival Kraf Johor 2014 oleh Puan Rugayah binti Mohd Salleh, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor bertempat di Kraftangan Malaysia Cawangan Johor. Hadir sama ialah Encik Abdul Manan bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia.

Sidang Media ini diadakan bertujuan untuk memaklumkan kepada pihak media mengenai satu portal khas yang diwujudkan oleh Kraftangan Malaysia bagi memberikan informasi kepada masyarakat umum mengenai Festival Kraf Johor 2014.

Festival Kraf Johor 2014 merupakan satu aktiviti mempromosi produk-produk kraf tempatan yang berlangsung mulai 18 hingga 31 Disember 2014 bermula dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall. Penganjuran Festival Kraf Johor 2014 merupakan kali ke-4 diadakan dan dijadikan sebagai acara tahunan setelah mendapat maklum balas positif yang diterima daripada pengunjung dan pengguna kraf di selatan tanah air sejak mula diperkenal pada tahun 2011.

Objektif utama penganjuran Festival Kraf Johor ialah untuk mempromosi dan memasarkan produk kraf terus kepada pengguna; memperluaskan pasaran kraf; memberi kesedaran dan maklumat terkini mengenai industri kraf negara serta menanam minat pengguna terhadap kraf tempatan.

Aktiviti Utama yang diketengahkan sepanjang penganjuran ini ialah Jualan Produk Kraf, Pameran Dan Jualan Produk Baru, Pameran Landskap & Seni Taman, Demonstrasi Kembang Api, Demonstrasi Masakan & Kuih Tradisional dan Interaktif Kraf. Turut diadakan juga sempena festival ini ialah Aktiviti Galakan Pengunjung seperti Persembahan Kesenian, Permainan & Pertandingan Congkak, Persembahan Karaoke Rakyat, Idola FKJ 2014, Persembahan Artis Akademi Fantasia, Tazkirah Laman Rohani, Mini Pesta Buku, Seni Khat @Craft, Roda Klasik@Craft, Si Comel Meow@Craft, Warna-Warni @Craft dan Bonsai @Craft.

Festival Kraf Johor merupakan penjenamaan semula nama aktiviti yang sebelum ini dikenali dengan Promosi Kraf Malaysia Peringkat Negeri Johor. Penjenamaan semula ini dilihat lebih bertepatan dengan konsep serta tambahan aktiviti baru yang diketengahkan. Penggunaan nama Negeri Johor memenuhi sasaran sebagai ruang promosi yang diwujudkan oleh Kraftangan Malaysia bagi hub pemasaran kraf di zon selatan tanah air. Penggunaan nama Negeri Johor itu juga tidak membataskan penyertaan usahawan dari lain-lain negeri. Penyertaan usahawan daripada pelbagai bidang kraf dari seluruh Malaysia merupakan dokongan utama menjayakan festival seumpama ini.

Untuk maklumat lanjut, hubungi :
KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN JOHOR
LOT PTB2002, JALAN CENDERASARI
OFF JALAN DATIN HALIMAH

80350 LARKIN, JOHOR  Ɩ  TEL : 07- 235 0431  Ɩ  LAYARI : www.festival.kraftangan.gov.my

Selasa, 2 Disember 2014

HARI KELUARGA MOTAC 2014


Dijemput semua anggota kerja Kraftangan Malaysia di seluruh negara menyertai Hari Keluarga Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pada 13 Disember 2014 di Taman Equestrian Putrajaya. Kraftangan Malaysia akan berada di Kumpulan Kuning. Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Encik Mohamad Rozaiham bin Mat Ali, Bahagian Kewangan dan Pembangunan Ibu Pejabat, di talian 03-21627459 ext 251. Kehadiran anda amat dialu-alukan. 

"MARI KITA ERATKAN SILATURRAHIM"



Cadangan T-Shirt Kumpulan Kuning 


Isnin, 1 Disember 2014

MAHA 2014

Kraftangan Malaysia telah menyertai pameran MAHA 2014 anjuran Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani. Pameran yang bertemakan Agroteknologi Pemangkin Transformasi ini telah diadakan pada 20 hingga 30 November 2014 di MAEPS, Serdang.




FESTIVAL KRAF JOHOR 2014


Hampir 300 usahawan kraf terdiri daripada pelbagai bidang kraf akan terlibat dalam penjualan produk kraf tempatan. Datanglah beramai-ramai! Jumpa disana... 

PERLANTIKAN ADIGURU KRAF 2014

KOTA BHARU, 25 NOVEMBER 2014 –Kraftangan Malaysia  agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Majlis Menandatangani Watikah Perlantikan Adiguru Kraf.  Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohd. Kamil bin Mohd. Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia bertempat di Kampung Penambang, Kota Bharu. Hadir sama ialah Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Encik Juhari bin Azmi.

Majlis pada hari ini, menyaksikan Puan Hajah Kelthom binti Haji Hussein, 68 tahun, pengusaha syarikat Che Minah Songket dilantik sebagai Adiguru Kraf bagi tahun 2014.

Penghargaan kepada Adiguru Kraf diberikan kepada Adiguru kraf tempatan yang berkemahiran tinggi dan memberikan sumbangan yang besar dalam membangun dan mengembangkan seni kraf negara. Adiguru Kraf ialah seseorang yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai seorang tokoh setelah mereka menepati kriteria-kriteria iaitu:

  1. Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang kraf kepakarannya atau ahli di dalam seni kemahiran ketukangan, penciptaan, penggubahan dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa Malaysia
  2. Memainkan peranan penting dalam usaha memulih dan memelihara seni kraf warisan
  3. Bersungguh-sungguh menurunkan kemahiran kepada kumpulan pelapis agar seni kraf warisan berkenaan mempunyai kesinambungan
  4. Kreatif dan inovatif dalam usaha memaju dan meningkatkan kualiti produk kraf yang dihasilkan

Menerusi pelantikan ini, Adiguru Kraf yang dilantik menikmati pemberian wang sagu hati berjumlah RM5,000.00 serta menerima elaun bulanan RM500.00 sebulan mulai bulan Januari 2015. Pelantikan Puan Hajah Kelthom binti Haji Hussein sebagai Adiguru Kraf merupakan yang pertama bagi tahun 2014, dan bakal disusuli dengan pelantikan seorang lagi Adiguru Kraf dalam bidang anyaman dari Negeri Sarawak pada bulan Disember ini.

Jumlah keseluruhan Adiguru Kraf termasuk pelantikan kedua-dua Adiguru Kraf tahun ini, kini berjumlah seramai 51 orang sejak mula diperkenal pada tahun 1987. Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut seramai 18 orang Adiguru Kraf sudah meninggal dunia. Yang Berbahagia Dato’ Ketua Pengarah serta para tetamu kemudiannya meneruskan lawatan ke Pameran Produk Adiguru yang dipamerkan di bengkel.