Isnin, 1 Oktober 2012

UNESCO AWARD OF EXCELLENCE FOR HANDICRAFTS (SOUTH EAST ASIA & SOUTH ASIA)


KUALA LUMPUR, 4 JUN 2012 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) hari ini mengadakan Majlis Sidang Media bagi menghebahkan tentang Penganjuran UNESCO Award Of Excellence For Handicrafts. Majlis dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Hadir sama ialah Yang Berbahagia Dato’ Dr. Rothiah Omar, Timbalan Ketua Setiausaha (Penerangan) KPKK, Yang Berusaha Encik Che Azemi Haron, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) KPKK, Yang Berbahagia Dato’ Haji Sohaimi bin Shahadan, Pengerusi Kraftangan Malaysia dan  Yang Berbahagia Encik Mohd Kamil bin Mohd Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.

Program yang diadakan dua tahun sekali ini bertujuan menggalakkan usahawan kraf supaya menghasilkan produk menggunakan kemahiran, corak dan reka bentuk secara inovatif bagi memastikan kesinambungan dan kedayatahanan tradisi dan kemahiran.

Penganjuran ini terbuka kepada seluruh usahawan kraf dari rantau South East Asia ( Asia Tenggara ) dan South Asia ( Asia Selatan ) untuk menyertainya. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Julai 2012. Penilaian produk UNESCO Award Of Excellence For Handicrafts akan dilaksanakan mulai 23 hingga 26 September 2012 semasa International Symposium And Exhibition On Natural Dyes & World Eco-Fiber and Textile ( ISEND/WEFT) Forum 2012 anjuran Society Atelier Sarawak dengan kerjasama Kraftangan Malaysia. Pengumuman produk yang berjaya mendapat pengiktirafan UNESCO Award Of Excellence For Handicrafts akan diumumkan pada 15 Oktober 2012.

Sebanyak 8 kategori dipertandingkan iaitu Homeware ; Clothing & Scarves; Decoration ; Fashion Accessories ; Jewelry ; Stationery ; Toys & Games ; Musical Instruments.

Produk kraf yang dihasilkan mestilah menggunakan salah satu atau gabungan bahan-bahan semulajadi antaranya seperti tekstil ( kapas, sutera, linen ) gentian semulajadi (buluh, rotan) ; seramik (tanah liat) ; logam (perak, emas, tembaga, besi, pewter); batu (batu berharga atau separuh berharga, jade).

Melalui pengiktirafan yang diberikan, seseorang usahawan kraf akan mendapat pelbagai manfaat seperti :

(i)        Sijil kecemerlangan
Setiap produk yang diiktiraf dengan Anugerah UNESCO diberi sijil. Perakuan itu boleh digunakan sebagai alat promosi (untuk produk tertentu atau sesuatu barisan produk sahaja) untuk membuktikan kualiti dan kesahihan sesuatu produk.

(ii)      Latihan dan pembinaan kapasiti
Usahawan yang produknya menerima pengiktirafan berpeluang menyertai bengkel mengenai penilaian reka bentuk produk dan promosi.

(iii)     Pameran perdagangan dan pameran
Usahawan kraf mempunyai peluang untuk memaparkan produk yang dianugerahkan di pameran dan pesta tahunan serta mendapat bimbingan tentang penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa.

(i)        Komunikasi dan promosi
Usahawan mendapat manfaat daripada kempen komunikasi dan promosi yang diselaraskan oleh UNESCO dan rakan serantau. Bahan promosi, seperti risalah dan katalog, akan meningkatkan penonjolan produk dan pengiktirafan.

(ii)      Laman web
Semua produk yang mendapat pengiktirafan, bersama-sama dengan data maklumat usahawan, disenaraikan di laman web UNESCO Bangkok supaya orang yang berminat boleh terus berkomunikasi dengan usahawan.

(iii)     Harta intelek dan hak cipta
Usahawan kraf yang menerima pengiktirafan diberi kesedaran mengenai manfaat mendaftarkan produk mereka di bawah harta intelektual dan hak cipta.


UNESCO Award Of Excellence For Handicrafts In Asia sebelum ini dikenali sebagai UNESCO Seal Of Excellence yang diperkenalkan bersama oleh UNESCO dan ASEAN Handicraft Promotion and Development Association (AHPADA) pada tahun 2001. Kraftangan Malaysia merupakan wakil dalam AHPADA.

Kali terakhir program ini telah diadakan pada tahun 2010 di Jakarta. Pada tahun ini, Malaysia telah diberi penghormatan oleh UNESCO untuk menganjurkan UNESCO Award Of Excellence For Handicrafts.

Negara anggota dalam rantau Asia Tenggara adalah - Brunei Darussalam, Cambodia, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Philippines, Singapore, Thailand, Timor Leste & Vietnam. Bagi rantau Asia Selatan pula adalah - Bangladesh, Bhutan, India, Nepal, Maldives, Pakistan & Sri Lanka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan