Isnin, 28 Oktober 2013

PESTA CAHAYA DEEPAVALI 2013


Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. 

Menurut lagenda, Raja Narakasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Dewa Krishnan. Sebelum mati, Raja Narakasura meminta semua manusia agar mereka merai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia. Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.

Sempena perayaan ini yang jatuh pada 2 November 2013 (Sabtu), Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu di seluruh negara. 


Sumber : Wikipedia

Rabu, 23 Oktober 2013

PERASMIAN INSTITUT KEMAHIRAN TENUN PAHANG DIRAJA TENGKU AMPUAN BESAR MERIAM

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui Kraftangan Malaysia telah mengadakan Majlis Perasmian Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam. Majlis disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang pada 20 Oktober 2013 bertempat di Kompleks Budaya Pulau Keladi, Pekan Pahang.

Hadir sama ialah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang , Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang dan Isteri.Yang Berbahagia Datuk Dr. Ong Hong Peng, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Haji Sohaimi bin Shahadan, Pengerusi Kraftangan Malaysia serta Yang Berbahagia Encik Mohd Kamil Mohd Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.

Pada majlis ini,  Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang turut menyempurnakan Pengurniaan Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja kepada 43 orang penerima yang mana terdiri daripada Graduan IKTPD (10 orang), Sijil Watikah Pemakaian Logo Tenun Pahang Diraja (11 orang), Sijil Anugerah UNESCO (2 orang) dan Sijil Penyertaan Bimbingan Teknikal (20 orang).

Sempena majlis ini juga, beberapa aktiviti khas diadakan seperti Pameran Produk Pelajar, Pameran Produk Rekaan Baru Tenun Pahang, Interaktif dan Pendidikan Kraf, Jualan Produk Kraf oleh 11 syarikat tenun Pahang termasuk produk kraf dari Jabatan Penjara, Demonstrasi Kraf, Persembahan Kesenian dan Kuiz Tenun Pahang.

Selasa, 22 Oktober 2013

TAHNIAH PENGERUSI KRAFTANGAN MALAYSIA


Tahniah kepada Yang Berbahagia Dato' Sohaimi Shahadan merangkap Pengerusi Kraftangan Malaysia yang telah berjaya memenangi kerusi Majlis Tertinggi UMNO 2013-2016.
Pengumuman keputusan rasmi telah dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti Tan Sri Tajol Rosli Ghazali pada 20 Oktober 2013 semasa sidang media di Menara Dato' Onn, PWTC.
Sekali lagi, tahniah diucapkan dan selamat menjalankan tugas.

UCAPAN TAKZIAH

Takziah diucapkan kepada Puan Siti Habsah binti Romlan, anggota kerja Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia yang kehilangan ayahanda tersayang pada petang 19 Oktober 2013. Kami mendoakan Puan Siti Habsah sekeluarga tabah menerima kehilangan ini. Semoga allahyarham di tempatkan dikalangan hambanya yang soleh dan beriman. Takziah dan Al-Fatihah. 

Khamis, 10 Oktober 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1434H


Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s.dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.

Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid

Kepada semua rakyat Malaysia, Kraftangan Malaysia mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiiladha. Semoga setiap ibadah kita diterimaNya.


sumber : Wikipedia

Rabu, 9 Oktober 2013

UACAPAN TAKZIAH


Kraftangan Malaysia mengucapkan takziah kepada Tuan Haji Ramli bin Mohd Nor di atas pemergian isteri tersayang Allahyarhamah Puan Hajah Rahimah binti Kadir pada pagi 9 Oktober 2013 bersamaan 4 Zulhijjah di Hospital Seremban. Semoga allahyarhamah di tempatkan dikalangan hambanya yang solehah dan beriman. Pastinya pemergian seorang isteri dan ibu ini amat dirasai seluruh anggota keluarganya. Takziah dan Al-Fatihah.

Khamis, 3 Oktober 2013

"CRAFT CHEF OF THE DAY" SEMPENA PROMOSI HIASAN DALAM DAN SENI TAMAN

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, agensi kerajaan di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, akan menganjurkan Pertandingan Craft Chef of The Day pada sempena program Promosi Hiasan Dalaman & Seni Taman 2013 dari 26 September hingga 7 Oktober 2013. Pertandingan ini akan diadakan seperti berikut:

Tarikh  : 5 Oktober 2013 (Sabtu)
Masa  : 12.00 Tengahari hingga 1.30 petang (masa penyediaan hidangan)
Tempat:  : Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Pertandingan memasak ini merupakan pertandingan di peringkat separa profesional yang akan disertai oleh penuntut Jurusan Seni Kulinari dari Institut Pengajian Tinggi di Malaysia secara berkumpulan. Setiap kumpulan perlu menyediakan hidangan lengkap (Appertizer, Main Course & Dessert) menggunakan bahan masakan yang disediakan oleh pihak penganjur. Format pertandingan akan dinilai berdasarkandari hasil masakan (rasa) dan juga kreativiti hiasan meja hidangan (table setting). Setiap kumpulan perlu menyediakan 3 menu hidangan lengkap menggunakan bahan masakan yang disediakan oleh penganjur.

Bagi mengekalkan tahap mutu dan kualiti pertandingan ini, juri bertauliah iaitu jemputan rancangan Masterchef Malaysia Pertama iaitu Chef Mohamad Rashidi Abd Manap dan Chef Yahaya Hassan telah dilantik sebagai koordinator dan juri utama bagi pertandingan ini.

Hadiah bagi pemenang utama ialah wang tunai berjumlah RM1,500.00, pemenang tempat kedua RM1,000.00 dan pemenang tempat ketiga RM700.00 bersamping plak, hamper tajaan Maggi, Majalah tajaan Kumpulan Karangkraf dan Sijil Penghargaan.

Selasa, 1 Oktober 2013

GIMIK PERASMIAN PROMOSI HIASAN DALAMAN DAN SENI TAMAN

YB Menteri menyempurnakan gimik perasmian 
Terima kasih kepada YB Dato' Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan kerana sudi hadir merasmikan  Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2013 yang telah diadakan pada 30 September 2013 (Isnin), jam 10.30 pagi di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. 
Keterangan Gimik : Ukiran hiasan panel menonjolkan elemen tumbuh-tumbuhan yang melambangkan motif berkaitan dengan kehidupan masyarakat. Motif yang digunakan adalah tumbuhan “KangKung” dan “Daun Pandan” yang menggunakan teknik tebuk tembus silat nipis, tebal dan dalam.
Untuk menterjemahkan kesempurnaan, YB Menteri mempersembahkan ukiran bunga kangkung dan memasukkan ke dalam ruang kosong yang ditinggalkan. Apabila bunga kangkung itu dimasukkan, aliran cahaya di bahagian belakang ukiran akan memancarkan cahaya dan mempamerkan situasi 3D dan kini rekaan tradisional akan kelihatan bercirikan kontemporari. Ia memberi maksud suatu harapan yang lebih baik pada penghasilan produk kraf yang pelbagai.
Kini rekaan tradisional kontemporari bukan sahaja menampilkan gaya moden, tetapi lebih eksklusif dan kehadirannya perlu disesuaikan dengan konsep ruang dalam produk hiasan dalaman dan prosuk seni taman.