Selasa, 24 Mei 2011

BULETIN KRAF SIRI 1 : DARI MEJA EDITORIAL

Encik Misroni bin Haji Sulaiman (Timbalan Editor Buletin Kraf)






Menyingkap tirai tahun 2011 bermakna kita telah memasuki alam pembaharuan selari dengan gesaan pemimpin nombor satu negara yang menuntut kepada transformasi terutamanya bagi perkhidmatan awam ke arah membekal perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat.  Menyahut seruan kepada perubahan ini, Buletin Kraf terbitan Kraftangan Malaysia turut berubah wajah menuju dimensi baru dengan tagline “Medium Transformasi Kraf Malaysia”.

Keluaran sulung 2011 menampilkan perubahan dan pembaharuan bukan hanya kepada imej malah menjangkaui liputan berita, kandungan, reka letak, warna dan kualiti serta menyelitkan nilai-nilai komersial. Buletin Kraf diterbitkan empat kali setahun berkonsepkan bacaan ringan yang berinformasi. Sasaran pembaca Buletin Kraf bukan hanya sekadar warga Kraftangan Malaysia malah diperluaskan kepada seramai 7,147 usahawan kraf di seluruh negara dan orang awam.

Sebagai wadah ulung penyampai maklumat kepada usahawan kraf, Buletin kali ini menyajikan aktiviti Hari Kraf Kebangsaan dan Hala Tuju Perancangan Kraftangan Malaysia bersama Ketua Pengarah. Ruangan Info dengan Peragaan Fesyen Batik Miss Tourism International 2010 dan sisipan majlis ilmu bersama Apresiasi Kraf serta tidak ketinggalan segmen antarabangsa mengajak kita semua mendekati Misi Perdagangan Antarabangsa di Birmingham, Dubai dan Frankfurt.

Keluaran eksklusif Buletin Kraf kali ini mengajak pembaca mendekati Tokoh-tokoh Ulung Kraf, mengembara ke Destinasi Kota Batik dan menjengah keunikan Istana Kayu. Rakaman istimewa sempena Hari Kraf Kebangsaan 2011 dipaparkan dalam segmen Lensa Kraf yang berbentuk santai. Ikuti temu bual bersama penyanyi yang meningkat naik, Ana Raffali dalam segmen Ikon Remaja. Inovasi Teknik Pembakaran Labu Sayung dipaparkan dalam ruangan Kreatif dan Inovatif dan segmen Petua memberi panduan penjagaan batik sutera.

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berbahagia Datin Seri Masnah Rais isteri Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang menjadi Personaliti Budaya menghiasi Buletin Kraf kali ini. Selamat membaca!

Kumpulan Editorial


“Industri kreatif mempunyai potensi besar untuk dimajukan lagi bagi menjana pendapatan negara”.
 YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Oktober 2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan