Selasa, 15 Mac 2011

KRAF MENJANA EKONOMI

KRAF MENJANA EKONOMI

Tahun 2011 menyaksikan penganjuran berprestij Hari Kraf Kebangsaan kali ke sembilan dengan memilih ‘Kraf Menjana Ekonomi’ sebagai tema. Tema dipilih selaras dengan peranan industri kraf yang menjadi salah satu daripada sumber pendapatan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Hari Kraf Kebangsaan (HKK) yang bermula pada 23 Februari hingga 7 Mac 2011 berkonsepkan himpunan produk kraf Malaysia daripada pelbagai kaum dan budaya dari seluruh Malaysia untuk dibawa terus oleh pengusaha kepada pengguna. Kraftangan Malaysia menyediakan kemudahan ruang jualan kepada usahawan untuk memasarkan produk keluaran mereka. Melalui aktiviti jualan dan pameran usahawan kraf berpeluang berurus niaga dan bersemuka dengan pelanggan. Program Perjumpaan Pembeli dengan pedagang luar negara memberi peluang kepada usahawan-usahawan kraf meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

Seramai 500 usahawan kraf pelbagai bidang dari seluruh negara menyertai HKK tahun ini dengan menjual pelbagai produk kraf tempatan yang terdiri daripada tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf. Pengunjung juga berkesempatan melihat pameran produk kraf berkonsepkan gaya hidup antaranya Pameran Kelengkapan Rumah dan Pameran Seni Ukir Dalam Seni Bina. Hari Kraf tahun ini juga diadakan aktiviti pendidikan kraf yang memberi peluang kepada pengunjung mencuba membuat seramik, menganyam rotan, membuat origami dan ukiran kayu. Tidak ketinggalan turut diadakan Apresiasi Kraf yang merupakan program perkongsian idea dan ilmu yang memfokuskan perbincangan kepada Teknik Pembuatan Logam Bahan Campuran Seramik, Tenun Palembang dan Aplikasi Pewarna Glaze.

Selain itu, pengunjung-pengunjung Hari Kraf Kebangsaan berpeluang melihat sendiri pembuatan songket dan tenunan melalui aktiviti demonstrasi kraf tenunan dari dalam dan luar negara. Beberapa buah negara pengeluar tenunan telah dijemput untuk mengadakan demonstrasi antaranya Filipina, Indonesia, Bangladesh, Uzbezkistan dan China.

Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2011

Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2011 telah disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Puan Sri Datin Noorainee Abdul Rahman, Isteri Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 24 Februari 2011 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Hadir sama ialah Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan isteri Yang Berbahagia Datin Seri Masnah Rais.

“Seni kraf bukan sahaja warisan bangsa yang perlu dipelihara kerana nilai estetiknya tetapi sumbangannya yang besar kepada pembangunan sosio-ekonomi usahawan industri itu. Penganjuran Hari Kraf Kebangsaan saya kira amat bertepatan sekali kerana ia membantu meningkatkan pendapatan usahawan kraf” kata Noorainee.

Dalam ucapannya, beliau turut mencadangkan supaya Persatuan Kraf Wanita Malaysia ditubuhkan bagi menjaga kebajikan dan pembangunan kaum wanita yang melibatkan diri dalam industri kraf. Persatuan ini akan menumpukan kepada aspek penerokaan peluang baru dalam penghasilan kraf, strategi pemasaran produk serta latihan dan bimbingan kepada ahli untuk meningkatkan ilmu kemahiran yang dimiliki oleh para ahlinya.

Pada majlis yang sama, Yang Amat Berbahagia Puan Sri Datin Noorainee Abdul Rahman turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kraf Negara dan Penghargaan Khas – Tukang Ulung.


i. PENGANUGERAHAN TOKOH KRAF NEGARA

Anugerah Tokoh Kraf Negara mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada tahun 1996. Ia diadakan bagi menghargai jasa dan sumbangan tukang kraf dalam usaha memelihara dan melindungi seni pertukangan dan kemahiran kraf warisan daripada pupus. Penerima / waris menerima wang ganjaran bernilai RM60,000.00. Penerima bagi Tokoh Kraf Negara 2011 ialah :

Nama Penerima : Allahyarham Tuan Haji Ab Manan bin Haji Yakub
Bidang Kraf Pertukangan Perak
Diwakilkan oleh :Encik Hasnan ( Anak sulung penerima )



ii. PENGHARGAAN KHAS - TUKANG ULUNG

Tukang Ulung adalah seseorang yang diberi pengiktirafan oleh Kerajaan melalui Kraftangan Malaysia sebagai seorang yang berpengalaman luas, mahir dan mempunyai pengetahuan teknikal dari segi sesuatu pembuatan kraf. Pengalamannya telah membolehkannya mempunyai kecekapan, kemahiran yang tinggi, pandai dan terbaik dalam bidangnya. Seramai 9 orang penerima diberi plak penghargaan berserta wang bernilai RM10,000.00 setiap seorang.

Senarai Penerima:
1. Encik Salleh bin Mohd (Pembuat Kraf Tembaga)
2. Encik Hasan @Hasni bin Ali (Pembuat Kraf Perahu Layar)
3. Allahyarham Tuan Hj. Mohd Fadzil bin Abdullah (Pembuat Kraf Tekstil Batik)
4. Encik Siow Ho Phiew (Pembuat Kraf Kepala Singa)
5. Madam Khoo Lay Im (Pembuat Kraf Sulaman Manik)
6. Encik V.N Ramadas A/L Vengadasalam (Pembuat Kraf Tembikar)
7. Encik Johnny AK Barangan (Pembuat Kraf Parang Ilang)
8. Tuan Haji Latun bin Ibnu (Pembuat Kraf Perahu Lepa)
9. Encik A.Samri A/L Abdul Rahman (Pembuat Kraf Patung & Topeng Orang Asli)

Sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2011 diteruskan dengan PROMOSI KRAF MALAYSIA - PUSAT BELI BELAH iaitu di One Utama, Damansara ( 16 – 20 Mac ), Aeon Bukit Raja, Klang ( 22 Mac – 3 April ) dan Great Eastern Mall, Kuala Lumpur (24 Mac – 3 April ).


Oleh : Wan Zakiroh Binti Megat Sulaiman
(Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia)

1 ulasan:

  1. Salam semua...saya salah seorang pemenang anugerah TUKANG ULUNG KRAFTANGAN 2011 -Johnny Ak Barangan dari sarawak telah menbuat blog Parang Ilangnya.....jemput lihat blog saya.. iaitu parangjohnny.blogspot.com

    BalasPadam