Jumaat, 5 Mac 2010

HARI KRAF KEBANGSAAN 2010

Penganjuran Sambutan Hari Kraf Kebangsaan merupakan aktiviti besar-besaran yang diadakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bertujuan untuk memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan dan penggiat kraf dalam usaha membangunkan industri negara. Disamping itu, promosi ini juga dapat meningkatkan pendapatan usahawan krafserta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Hari Kraf Kebangsaan 2010 merupakan sambutan kali ke lapan diadakan sejak tahun 2003.
Lebih daripada 500 usahawan kraf dari seluruh Malaysia dijangka terlibat dalam aktiviti jualan kraf yang akan bermula 24 Februari hingga 8 Mac 2010. Penyertaan ini melibatkan usahawan dari seluruh Malaysia termasuk penyertaan usahawan dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan persatuan bukan kerajaan (NGO).

Kreatif dan Inovatif merupakan tema sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2010. Tema ini membawa maksud penghasilan Kraf yang kreatif dan inovatif akan menjulang Malaysia ketahap yag lebih gemilang. Malahan, tema ini juga selaras dengan saranan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang menjadikan tahun 2010 sebagai tahun kreativiti dan inovasi.
Sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2010 akan diadakan mulai 24 Feb – 8 Mac 2010 dari 10 pagi – 8 malam, kecuali hari Jumaat dan Sabtu dari 10 pagi – 10 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. Terdapat pelbagai aktiviti akan diadakan sempena sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2010 sebagai usaha mempromosi dan memartabatkan industri kraf serta boleh dimanfaatkan kepada pengusaha dan para pengunjung. Antara aktiviti yang diadakan ialah :-

Jualan Kraf. Dijangka lebih 500 usahawan kraf dari seluruh Malaysia akan menyertai aktiviti jualan kraf yang akan bermula 24 Februari hingga 8 Mac 2010. Penyertaan ini melibatkan usahawan dari seluruh Malaysia termasuk penyertaan usahawan dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan persatuan bukan kerajaan (NGO).

Pameran Produk Rekaan Baru. Sejumlah 191 rekaan produk-produk kraf dengan penglibatan seramai 43 usahawan kraf seluruh Malaysia akan dipamerkan. Terdapat pelbagai kategori produk akan dipamerkan iaitu hadiah korporat, hiasan rumah dan pejabat serta fesyen dan aksesori.

Pameran Seni Ukiran Kayu dalam Senibina lebih memberi fokus kepada seni ukiran kayu dalam seni bina oleh pereka dan usahawan kraf tempatan. Kumpulan pereka dan usahawan akan dijemput bagi mempamer dan menjual produk-produk ukiran yang terkini, berinovasi dan bersesuaian digunapakai untuk penambahan hiasan di pintu, tingkap, anjung, lantai, tiang seri, tangga dan di ruang-ruang kediaman serta pejabat.

Pameran Produk Cenderamata Ketua-ketua Negara merupakan pameran yang memberi peluang kepada usahawan untuk mengetengahkan produk kraf sebagai cenderamata kepada Ketua-Ketua Negara. Antara produk-produk yang bakal dipamerkan ialah Mangkuk Seramik, Mangkuk Kayu Larik, Kotak Berhias, Kain Tenun (dibingkaikan) dan Aksesori Wanita.

Pameran Kraf Warisan bertujuan untuk mempamerkan alat muzik tradisional kaum-kaum di Malaysia. Pameran tersebut berkonsepkan pameran bergambar, audio visual, diorama penggunaan alat muzik dan demonstrasi bunyian.

Pameran Teknologi Kraf memberi fokus kepada kajian teknologi yang dilaksanakan oleh Cawangan Kraftangan Malaysia bagi mempertahapkan proses penghasilan produk kraf. Pameran tersebut terdiri daripada Mesin Sulaman ( Tekatan ), Kawalan Mutu Logam Perak dan Fabrikasi Alat Tenun Tradisional secara mekanikal.

Demonstrasi dan Interaktif Kraf. Bertujuan untuk mengadakan Demonstrasi pembuatan alat-alat muzik, Demonstrasi Kraf Antarabangsa dan Demonstrasi masakan kuih tradisional. Selain itu, aktiviti ini juga diadakan untuk member pendedahan kepada masyarakat umum tentang teknik-teknik penghasilan serta penggunaan (Daya & Bunyi).

Hari Kraf Kebangsaan 2010 merupakan sambutan kali ke lapan diadakan sejak tahun 2003. Promosi ini mensasarkan jualan sebanyak RM12.0 juta dan sekaligus menjadi satu platform kepada usahawan kraf untuk mempromosi dan memasarkan produk mereka kepada pembeli dan pengguna. Selain itu, peningkatan jualan juga akan memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sama – sama lah kita menyokong barangan Kraf Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan