Rabu, 25 April 2012

SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH UMRAH


Encik Misroni bin Haji Sulaiman
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat
Kraftangan Malaysia

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, En Misroni bin Haji Sulaiman telah mula bercuti untuk mengerjakan ibadah umrah. Keluarga di Bahagian Komunikasi Korporat mendoakan agar selamat pergi dan selamat kembali. Semoga perjalanan dan perjuangan En. Misroni sekeluarga dipermudahkan oleh Allah swt. 
Semoga sentiasa dilindungi dan diberkati. Amin
En. Misroni akan kembali bertugas pada 7 Mei 2012. 

Rabu, 18 April 2012

AL-FATIHAH

Seluruh anggota kerja Kraftangan Malaysia mengucapkan takziah kepada EncikRidzwan Misran, Penolong Pengarah Unit Perolehan, Bahagian Kewangan dan Pembangunan yang telah kehilangan isteri tercinta pada pada 18 April 2012 bersamaan 26 Jamadilawal 1433H. Semoga roh ditempatkan dikalangan orang beriman. Al-Fatihah

Isnin, 9 April 2012

SIMPOSIUM TEKSTIL SEDUNIA SEMPENA HKK 2012


Majlis Perasmian Simposium Tekstil Sedunia sempena sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2012 berlangsung di Dewan Taming Sari, Hotel Royale Chulan pada 27 mac 2012. Majlis disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan isteri Yang Berbahagia Datin Seri Masnah Rais.
Hadir sama ialah Yang Berhormat Dato’ Joseph Salang dan Yang Berhormat Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Timbalan-timbalan Menteri KPKK, Yang Berbahagia Datuk Hj. Ab. Ghaffar A. Tambi, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), KPKK.  Terdahulu kehadiran tetamu kehormat disambut oleh daripada Kraftangan Malaysia seperti berikut Yang Berbahagia Dato’ Haji Sohaimi bin Shahadan Pengerusi Kraftangan Malaysia, Yang Berbahagia Encik Mohd Kamil bin Mohd Ali Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia dan Puan Hajah Zuraida binti Mokhtar Pengarah Institut Kraf Negara
Matlamat utama diadakan Simposium Tekstil Sedunia adalah bagi menyediakan satu wadah pertukaran maklumat terkini mengenai reka bentuk inovatif dan amalan-amalan tradisi tekstil terutama sekali dalam rantau ASEAN. Bertemakan “Memperkayakan Komuniti Melalui Inovasi Kraf” Simposium Tekstil Sedunia akan mengetengahkan kejayaan dan usaha berterusan oleh  penggiat atau usahawan dalam mempromosi dan memasarkan produk mereka.


MAJLIS PERASMIAN HARI KRAF KEBANGSAAN 2012




Kraftangan Malaysia telah menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan yang berakhir  pada 2 April 201 yang lalu.  Ia  diadakan bertujuan memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan dan penggiat kraf dalam membangunkan industri kraf negara serta meningkatkan pendapatan usahawan kraf sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
HKK 2012 berkonsepkan ‘Pop Art’ berteraskan kepada aliran seni visual yang berkaitan dengan objek atau suasana yang berlaku di kalangan masyarakat dengan menyerlahkan warna ceria dan cerah dan tema pada tahun ini ialah ‘Kraf Penjana Ekonomi Rakyat’ iaitu kemajuan industri kraf berupaya meningkatkan pendapatan usahawan dan pengeluaran produk kraf menjadi satu perniagaan yang boleh menjana pendapatan ekonomi rakyat.
Majlis perasmian HKK2012 yang ke-10 disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor. Turut serta dalam majlis ini ialah Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan isteri, Timbalan Menteri I dan Timbalan Menteri II dan tetamu kehormat yang lain.
Sempena majlis perasmian ini juga, Penganugerahan Tukang Ulung 2012 turut diberikan kepada 10 orang usahawan yang terdiri daripada pelbagai bidang. Penerima anugerah menerima sijil penghargaan dan cek berjumlah RM10,000 di atas sumbangan mereka dalam mewarnai industri kraf dengan kemahiran dan bakat yang ditonjolkan menerusi produk yang dihasilkan.  Penghargaan kepada pusat beli-belah juga turut diberikan kepada pusat beli belah yang telah memberi kerjasama dalam menjayakan promosi kraf di tempat mereka. Antara penerima penghargaan tersebut adalah dari Great Eastern Mall, AEON dan Plaza Angsana.










Isnin, 2 April 2012

IKLAN TV HARI KRAF KEBANGSAAN 2012


Iklan TV sempena Hari Kraf Kebangsaan 2012.
Artis : Neelofa dan Fizo Omar
Lokasi : Kompleks Kraf Kuala Lumpur.


Selasa, 20 Mac 2012

PELANCARAN PROMOSI HARI KRAF KEBANGSAAN 2012

Majlis Sidang Media Pelancaran Promosi Pelekat Kenderaan Hari Kraf Kebangsaan 2012 telah diadakan pada 19 Mac 2012 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Sohaimi bin Shahadan, Pengerusi Kraftangan Malaysia. 

Tetamu kehormat turut mengadakan lawatan dan merasmikan Museum Shoppe, Kedai Kraf Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Vending Machine yang mula dibuka kepada umum pada hari tersebut. Yang Berbahagia Dato' Haji Sohaimi Shahdan turut melancarkan pelekat kenderaan HKK2012 pada cermin teksi Airport LIMO dan Bus Hop On Hop Off sebagai usaha menghebahkan lagi sambutan Hari Kraf Kebangsaan.





MUSEUM SHOPPE
Merupakan outlet yang berperanan memperkenal dan memperluaskan produk kraf tradisional melalui aktiviti jualan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara. Menerusi outlet ini, Kraftangan Malaysia mengetengahkan produk seperti hadiah dan cenderamata, aksesori pakaian, perhiasan diri serta bahan-bahan bercetak seperti buku, katalog, DVD dan VCD. Produk-produk kraf yang dijadikan cenderamata tersebut boleh didapati sama ada dalam ukiran bersaiz kecil (miniature), penghasilan semula (re-po), replika dan koleksi terbaik Tokoh Kraf Negara. 








KEDAI KRAF SDSI 
Kraftangan Malaysia yang berperanan sebagai peneraju kepada pembangunan industri kraf negara telah menjadikan projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) kraf sebagai satu program teras yang bertujuan membangunkan sosio-ekonomi masyarakat tempatan melalui penglibatan aktiviti kraf yang diusahakan secara komersil.

Pembukaan kedai ini menjadi platform baru kepada para usahawan di bawah projek SDSI untuk mempromosikan produk kraf lebih dekat kepada pengguna. Seramai 405 usahawan terlibat dalam membekalkan produk di Kedai Kraf SDSI ini meliputi kraf tekstil (tekatan), hasil rimba (anyaman,ukiran kayu dan kertas buatan tangan). hasil tanah (seramik), logam (tembaga dan pewter) dan aneka kraf (manik).






VENDING MACHINE 
Merupakan inovasi baru dalam mempromosikan produk kraf tempatan melalui jualan mengunakan mesin runcit yang digerakkan oleh Syarikat Pemarasaran Karyaneka Sdn. Bhd. Melaluinya orang ramai boleh membeli produk kraf mampu milik seperti rantai kunci, beg syiling batik dan songket, sapu tangan batik dan banyak lagi pada harga RM10.00 ke bawah.

Sebagai permulaan dua (2) buah esin runcit ini akan ditempatkan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur untuk diuji pasaran selama tiga (3) bulan bagi melihat sambutan produk dan harga yang ditawarkan sebelum ditempatkan di lokasi lain umpamanya pusat tumpuan pelancong. Mesin runcit ini merupakan teknologi dari negara Jepun.