Memaparkan catatan dengan label buletin kraf. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buletin kraf. Papar semua catatan

Rabu, 3 Julai 2013

BULETIN KRAF BIL.7/2013


Buletin Kraf Bil.7/2013 (April-Jun) telah diterbitkan. Penghias muka depan buletin kali ini memang istimewa kerana pertama kali menampilkan usahawan lelaki. Beliau ialah penerima Anugerah Tukang Ulung HKK2013 iaitu Encik Koh Kim Bock, Usahawan Kraf Gasing. 

Antara artikel yang menarik pada keluaran kali ini, "Cinta Benang Emas - Hajah Azizah", "Wan Zainab Wan Ibrahim -Nadia Batik", "Kota Songket -Terengganu" dan banyak lagi. Jika berminat untuk dapatkannya boleh emel nama penuh dan alamat untuk penghantaran ke sitimariam@kraftangan.gov.my. Edaran adalah percuma. 


Selasa, 6 Disember 2011

BULETIN KRAF EDISI 02/2011




Menarik edisi ke2 ini....



Nantikan edarannya.....
Sesiapa yang berminat boleh hubungi Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia

Khamis, 6 Oktober 2011

BULETIN KRAF : PETUA PENJAGAAN BATIK SUTERA BERSAMA PUAN KHALIJAH MOHD NOR - PEREKA KRAFTANGAN MALAYSIA


Oleh                           :          Sharina binti Shaari
                                               sharina@kraftangan.gov.my

Baju batik cantik dan menarik dipakai. Namun demikian kadang kala terdengar keluhan daripada pengguna baju batik bila baju batik yang disayangi telah rosak, luntur dan pudar warna.

Puan Khalijah Mohd Nor atau lebih mesra dengan panggilan Kak Jah akan berkongsi petua untuk menjaga dan  mencuci baju batik sentiasa kelihatan cantik, menarik dan yang paling penting ia tahan lama. Menurut Puan Khalijah fabrik batik akan tahan lebih lama sekiranya dicuci dengan tangan atau cucian kering.

Antara petua yang dikongsi Kak Jah:
Ø  Batik sutera seelok-eloknya dicuci dengan tangan menggunakan sabun khas.
Ø  Selepas dicuci baju digantung dan disidai di tempat berangin dan terlindung daripada pancaran matahari.  
Ø  Pakaian batik tidak sesuai dibasuh menggunakan mesin kerana ia boleh merosakkan tekstur kainnya yang lembut dan juga melunturkan warna. 
Ø  Bagi memudahkan kerja menggosok pakaian batik, semburkan air yang dicampurkan dengan sedikit pelembut kain dan biarkan selama setengah jam sebelum digosok.

Selamat mencuba. BK

Selasa, 27 September 2011

BULETIN KRAF : INOVASI TEKNIK PEMBAKARAN LABU SAYONG


Oleh                           : Sharina Shaari
                                   sharina@kraftangan.gov.my

Perusahaan tembikar hitam telah wujud sekian lamanya di Kampung Kepala Bendang, Sayong di daerah Kuala Kangsar, Perak. Bagaimana tembikar hitam ini dikenali sebagai labu sayong? Oleh kerana tembikar ini berasal daripada Sayong dan bentuknya diilhamkan daripada buah labu, timbul pula dari sembang-sembang penduduk di situ akhirnya tembikar hitam ini dikenali sebagai labu sayong.

Bila berbicara mengenai labu sayong, tergambar di fikiran bekas yang diperbuat daripada tanah liat yang digunakan untuk menyimpan air.  Sejuk dan nyaman bila meneguk air yang disimpan di dalam labu sayong. Orang tua-tua mengatakan air yang disimpan di dalam bekas tanah liat ini mempunyai khasiat tersendiri antaranya dapat mengurangkan panas badan dan yang penting dapat menghilangkan dahaga. Bagi Penduduk di Kampung Kepala Bendang perusahaan membuat labu sayong adalah perusahaan tradisional yang kini menjadi identiti mereka dan juga sebagai produk pelancongan yang terkenal di kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Ramai di kalangan kita beranggapan bahawa labu sayong semata-mata sesuai dijadikan sebagai menyimpan air minuman. Komitmen pereka muda Kraftangan Malaysia yang tanpa rasa jemu mencerna ilham dan kreativiti berjaya mencipta pelbagai kegunaan ke atas produk seni tradisi ini. Kejayaan ini telah mewujudkan fenomena baru ke atas penggunaan dan permintaan terhadap labu sayong. Rentetan daripada itu labu sayong berpotensi untuk dikomersialkan sebagai produk perhiasan selain sebagai bekas menyimpan air minuman.

Sebagai agensi yang bertanggung jawab membantu meningkatkan industri kraf negara, Kraftangan Malaysia Cawangan Perak telah menggembleng idea mencipta inovasi baru iaitu tanur pembakaran labu sayong roller kiln dengan sekam padi. Idea awal dicetuskan oleh Tuan Haji Yusop Muri pada tahun 2006 yang pada ketika itu bertugas sebagai Penolong Pengarah di Kraftangan Malaysia Cawangan Perak. Satu pasukan tenaga kerja yang diketuai oleh penasihat projek iaitu Tuan Haji Muhammad Bin Ag. Teh (bekas Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak), pegawai projek Tuan Haji Yusop Muri, pegawai Teknikal I, Encik Mohamad Puzi Bin Ahmad(bekas pengajar kraf) dan pegawai Teknikal II, Encik Mohamad Rizan Bin Mohamad  Nordin (pereka). Pada akhir tahun 2007, Roller-kiln ini telah mula dijadikan sebagai kemudahan guna sama untuk kegunaan pengusaha-pengusaha kraf seramik yang berhampiran di sekitar kawasan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak.

Penggunaan tanur pembakaran ini meningkatkan pengeluaran labu sayong. Sejumlah 210 unit labu sayong boleh dihasilkan dalam masa 7 jam berbanding 70 biji labu sayong yang dapat dihasilkan dalam masa 8 jam dengan menggunakan tanur biasa. Tanur pembakaran ini boleh beroperasi selama 24 jam dan boleh juga digunakan untuk pembakaran seramik bergris pada suhu 900’c dan pembakaran decal.

Tanur roller kiln ini mempunyai 3 zon pembakaran iaitu zon pertama 90’c hingga 300’c, kedua 300’c hingga 550’c dan zon ketiga 550’c hingga 900’c. Tanur ini direka bentuk dengan menggunakan set roller yang menggerakkan labu sayong yang disusun di atas conveyor ke dalam tanur pembakaran. Roller digerakkan mengguna motor elektrik dan kelajuan pergerakannya boleh dikawal. Rantai coveyor diperbuat daripada stainless steel yang tahan kepanasan sehingga suhu maksimum 1000’c.

Labu sayong akan jatuh di pintu automatik yang terbuka dan akan jatuh ke dalam troli yang diisi dengan sekam padi. Troli ditarik keluar untuk proses mengambus labu dengan sekam padi dan dibiarkan selama 10 hingga 15 minit sebelum dikeluarkan. Labu yang telah disepuh dengan sekam padi akan berubah menjadi hitam dan dikeluarkan dari troli.

Penggunaan teknik baru yang sebenarnya diadaptasi daripada teknik tradisional ini telah dapat memendekkan masa memproses pembuatan dan menjimatkan kos pengeluaran labu sayong. Melalui projek inovasi ini, industri kraf labu sayong telah mengalami satu anjakan teknologi yang diukur melalui aspek kecekapan dan penjimatan kos. Selain daripada itu produk yang dihasilkan tidak mudah rosak serta mempunyai ciri-ciri keselamatan dan kawalan mutu yang seragam.

Kini pengusaha-pengusaha labu sayong khususnya dan kraf seramik amnya mendapat manfaat dalam mempermudah lagi urusan pembakaran labu sayong dan menjimatkan masa dan tenaga kerja. Penggunaan roller-kiln ini juga dapat memuaskan hati pelanggan dengan memenuhi permintaan dan kualiti produk seragam.  Roller-kiln ini ditempatkan di Pusat Gunasama, Kraftangan Malaysia Cawangan Perak bagi membolehkan semua pengusaha seramik mengguna pakai secara guna sama.


Isnin, 13 Jun 2011

SIRI 2 : BULETIN KRAF : MISI PERDAGANGAN ANTARABANGSA

Oleh : Siti Mariam Binti Sidek (sitimariam@kraftangan.gov.my)

INTERNATIONAL AUTUMN TRADE FAIR, DUBAI

Pameran perdagangan International Autumn Trade Fair telah diadakan di Dubai International Convention & Exhibition Centre yang berlangsung pada 13 hingga 15 Disember 2010. Penyertaan Kraftangan Malaysia  kali ini dilihat sebagai satu kesinambungan penerokaan pasaran di Timur Tengah.  Seramai 7 orang usahawan kraf dari bidang kayu, seramik, dan logam telah menyertai pameran perdagangan ini. Ia terdiri dari Rosecut Diamonds Antique Collections, Sweet Touch Ceramic Sdn Bhd, Kayuma Industri, Unicraft Heritage Sdn Bhd, Balai Seni Wanpo, Josl Pipes & Services dan D’ Cinda Enterprise.  

SPRING FAIR BIRMINGHAM 2011


Pameran perdagangan Spring Fair Birmingham  telah berlangsung pada 6 hingga 10 Februari  2011 bertempat di National Exhibition Centre, Birmingham, United Kingdom. Kraftangan Malaysia, menyertai pameran terbesar ini dengan membawa 8 orang usahawan kraf yang terdiri daripada HKY Collections, Josl Pipes & Services, Bastari Jaya, Roshfin Keramik Sdn Bhd, Zafialno Enterprise, CCP Design Sdn Bhd, Salam Oriental Greetings Sdn Bhd dan Rosecut Diamonds Antique Collections.


AMBIENTE 2011, FRANKFURT 2011


Kraftangan Malaysia telah menyertai misi perdagangan Ambiente 2011 di Frankfurt, Jerman pada 11 hingga 15 Februari 2011. Pameran  yang terbesar di dunia yang telah disertai oleh lebih dari 4,300 peserta dari seluruh dunia merupakan indikator yang baik kepada Kraftangan Malaysia untuk terus mempromosikan produk kraf tempatan ke  pasaran Eropah.  Lapan usahawan  kraf yang menyertai misi perdagangan ini terdiri daripada Uni-Malko Pewter Sdn Bhd, Sweet Touch Sdn Bhd, Qistina Wood Craft, Unicraft Heritage Sdn Bhd, Roshfin Keramik Sdn Bhd, Livan Handicraft, Coast Handmade Batik dan Josl Pipes & Services.  

Selasa, 24 Mei 2011

BULETIN KRAF SIRI 1 : DARI MEJA EDITORIAL

Encik Misroni bin Haji Sulaiman (Timbalan Editor Buletin Kraf)






Menyingkap tirai tahun 2011 bermakna kita telah memasuki alam pembaharuan selari dengan gesaan pemimpin nombor satu negara yang menuntut kepada transformasi terutamanya bagi perkhidmatan awam ke arah membekal perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat.  Menyahut seruan kepada perubahan ini, Buletin Kraf terbitan Kraftangan Malaysia turut berubah wajah menuju dimensi baru dengan tagline “Medium Transformasi Kraf Malaysia”.

Keluaran sulung 2011 menampilkan perubahan dan pembaharuan bukan hanya kepada imej malah menjangkaui liputan berita, kandungan, reka letak, warna dan kualiti serta menyelitkan nilai-nilai komersial. Buletin Kraf diterbitkan empat kali setahun berkonsepkan bacaan ringan yang berinformasi. Sasaran pembaca Buletin Kraf bukan hanya sekadar warga Kraftangan Malaysia malah diperluaskan kepada seramai 7,147 usahawan kraf di seluruh negara dan orang awam.

Sebagai wadah ulung penyampai maklumat kepada usahawan kraf, Buletin kali ini menyajikan aktiviti Hari Kraf Kebangsaan dan Hala Tuju Perancangan Kraftangan Malaysia bersama Ketua Pengarah. Ruangan Info dengan Peragaan Fesyen Batik Miss Tourism International 2010 dan sisipan majlis ilmu bersama Apresiasi Kraf serta tidak ketinggalan segmen antarabangsa mengajak kita semua mendekati Misi Perdagangan Antarabangsa di Birmingham, Dubai dan Frankfurt.

Keluaran eksklusif Buletin Kraf kali ini mengajak pembaca mendekati Tokoh-tokoh Ulung Kraf, mengembara ke Destinasi Kota Batik dan menjengah keunikan Istana Kayu. Rakaman istimewa sempena Hari Kraf Kebangsaan 2011 dipaparkan dalam segmen Lensa Kraf yang berbentuk santai. Ikuti temu bual bersama penyanyi yang meningkat naik, Ana Raffali dalam segmen Ikon Remaja. Inovasi Teknik Pembakaran Labu Sayung dipaparkan dalam ruangan Kreatif dan Inovatif dan segmen Petua memberi panduan penjagaan batik sutera.

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berbahagia Datin Seri Masnah Rais isteri Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang menjadi Personaliti Budaya menghiasi Buletin Kraf kali ini. Selamat membaca!

Kumpulan Editorial


“Industri kreatif mempunyai potensi besar untuk dimajukan lagi bagi menjana pendapatan negara”.
 YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Oktober 2010