KUALA LUMPUR, 27 JULAI 2011 - Promosi Kraf Aidilfitri 2011 kali ke-7 anjuran Kraftangan Malaysia yang bermula 21 hingga 29 Julai ini mendapat perhatian dan sokongan pihak media massa yang datang membuat liputan berita dan rencana secara berterusan.
Pada 22 Julai lepas, Bahagian Komunikasi Korporat mengadakan lawatan berpandu kepada pihak media sempena promosi ini. Seramai 20 wakil media dari RTM (TV dan Berita Radio), Bernama (TV dan Rencana), New Straits Times (Streets), Harian Metro, Utusan Malaysia, Berita Minggu, Majalah Aniqah dan Vision KL hadir menyertainya.
Lawatan berpandu media tersebut dihoskan oleh Tuan Haji Shahrudin Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Kraftangan Malaysia bersama Encik Misroni bin Haji Sulaiman, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat. Lawatan secara berpandu ini diadakan bertujuan membantu dan memudahkan pihak media untuk membuat liputan semasa di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Hujung minggu lalu beberapa orang jurufoto dari New Straits Times turun padang sekali lagi bersama Majalah Kunang-Kunang ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur untuk membuat liputan susulan.
Bahagian Komunikasi Korporat, Kraftangan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang menyiarkan berita tentang Promosi Kraf Aidilfitri 2011 serta menyokong usaha mempromosikan industri kraf tempatan.