Hari Kraf Kebangsaan merupakan acara tahunan yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 13 Mac 2002 dan akan disambut pada setiap tahun. Objektif pelaksanaannya adalah untuk memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan dan penggiat kraf dalam membangunkan industri kraf negara serta meningkatkan pendapatan usahawan kraf sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Penganjuran kali ke 10 semenjak tahun 2003 memberi impak yang positif kepada usahawan kraf dan industri kraf negara serta masyarakat umum mengenai perkembangan terkini dalam industri kraf tempatan.
Tahun 2003, HKK telah menampilkan tema Cintai Kraf Malaysia bagi meningkatkan kecintaan masyarakat terhadap seni kraf tempatan yang mencerminkan budaya, warisan dan identiti bangsa. Tahun 2004, tema Inovasi Kraf telah dipilih sebagai tema HKK sejajar dengan usaha Kraftangan Malaysia dalam meningkatkan mutu pengeluaran produk kraf negara. Tahun 2005, HKK telah memperkenalkan tema Kraf Untuk Semua seiring dengan pengeluaran produk kraf yang telah dipelbagaikan dari aspek reka corak, reka bentuk dan situasi semasa.
Tahun 2006, HKK telah menampilkan tema Alam Ilham Motif Kraf yang membawa makna alam sebagai medan untuk melahir ilham cipta dalam seni kraf tempatan. Kraf Satu Warisan menjadi tema HKK pada tahun 2007 dengan membawa maksud warisan dihargai dengan menterjemahkannya menjadi produk kraf yang cantik dan unik serta keagungan seni kraf tempatan yang diwarisi turun-temurun. Tahun 2008 dan 2009, HKK memperkenalkan tema Kraf Ke Persada Dunia selangkah dengan usaha Kraftangan Malaysia dalam mengangkat martabat kraf warisan ke persada dunia dengan menghasilkan produk kraf yang berkualiti dan mencapai tahap antarabangsa.
Tahun 2010, HKK menampilkan tema Kraf Kreatif dan Inovatif yang membawa makna industri kreatif yang sentiasa menuntut perubahan dan pembaharuan dalam pelbagai aspek seperti idea, reka corak, reka bentuk dan sebagainya. Tahun 2011 pula HKK telah memperkenalkan tema Kraf Menjana Ekonomi yang menampilkan penghasilan produk kraf secara komersil dapat menjana pendapatan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Hari Kraf Kebangsaan, sila layari laman web yang disediakan khas untuk Hari Kraf Kebangsaan