Selasa, 27 September 2011

BULETIN KRAF : INOVASI TEKNIK PEMBAKARAN LABU SAYONG


Oleh                           : Sharina Shaari
                                   sharina@kraftangan.gov.my

Perusahaan tembikar hitam telah wujud sekian lamanya di Kampung Kepala Bendang, Sayong di daerah Kuala Kangsar, Perak. Bagaimana tembikar hitam ini dikenali sebagai labu sayong? Oleh kerana tembikar ini berasal daripada Sayong dan bentuknya diilhamkan daripada buah labu, timbul pula dari sembang-sembang penduduk di situ akhirnya tembikar hitam ini dikenali sebagai labu sayong.

Bila berbicara mengenai labu sayong, tergambar di fikiran bekas yang diperbuat daripada tanah liat yang digunakan untuk menyimpan air.  Sejuk dan nyaman bila meneguk air yang disimpan di dalam labu sayong. Orang tua-tua mengatakan air yang disimpan di dalam bekas tanah liat ini mempunyai khasiat tersendiri antaranya dapat mengurangkan panas badan dan yang penting dapat menghilangkan dahaga. Bagi Penduduk di Kampung Kepala Bendang perusahaan membuat labu sayong adalah perusahaan tradisional yang kini menjadi identiti mereka dan juga sebagai produk pelancongan yang terkenal di kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Ramai di kalangan kita beranggapan bahawa labu sayong semata-mata sesuai dijadikan sebagai menyimpan air minuman. Komitmen pereka muda Kraftangan Malaysia yang tanpa rasa jemu mencerna ilham dan kreativiti berjaya mencipta pelbagai kegunaan ke atas produk seni tradisi ini. Kejayaan ini telah mewujudkan fenomena baru ke atas penggunaan dan permintaan terhadap labu sayong. Rentetan daripada itu labu sayong berpotensi untuk dikomersialkan sebagai produk perhiasan selain sebagai bekas menyimpan air minuman.

Sebagai agensi yang bertanggung jawab membantu meningkatkan industri kraf negara, Kraftangan Malaysia Cawangan Perak telah menggembleng idea mencipta inovasi baru iaitu tanur pembakaran labu sayong roller kiln dengan sekam padi. Idea awal dicetuskan oleh Tuan Haji Yusop Muri pada tahun 2006 yang pada ketika itu bertugas sebagai Penolong Pengarah di Kraftangan Malaysia Cawangan Perak. Satu pasukan tenaga kerja yang diketuai oleh penasihat projek iaitu Tuan Haji Muhammad Bin Ag. Teh (bekas Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak), pegawai projek Tuan Haji Yusop Muri, pegawai Teknikal I, Encik Mohamad Puzi Bin Ahmad(bekas pengajar kraf) dan pegawai Teknikal II, Encik Mohamad Rizan Bin Mohamad  Nordin (pereka). Pada akhir tahun 2007, Roller-kiln ini telah mula dijadikan sebagai kemudahan guna sama untuk kegunaan pengusaha-pengusaha kraf seramik yang berhampiran di sekitar kawasan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak.

Penggunaan tanur pembakaran ini meningkatkan pengeluaran labu sayong. Sejumlah 210 unit labu sayong boleh dihasilkan dalam masa 7 jam berbanding 70 biji labu sayong yang dapat dihasilkan dalam masa 8 jam dengan menggunakan tanur biasa. Tanur pembakaran ini boleh beroperasi selama 24 jam dan boleh juga digunakan untuk pembakaran seramik bergris pada suhu 900’c dan pembakaran decal.

Tanur roller kiln ini mempunyai 3 zon pembakaran iaitu zon pertama 90’c hingga 300’c, kedua 300’c hingga 550’c dan zon ketiga 550’c hingga 900’c. Tanur ini direka bentuk dengan menggunakan set roller yang menggerakkan labu sayong yang disusun di atas conveyor ke dalam tanur pembakaran. Roller digerakkan mengguna motor elektrik dan kelajuan pergerakannya boleh dikawal. Rantai coveyor diperbuat daripada stainless steel yang tahan kepanasan sehingga suhu maksimum 1000’c.

Labu sayong akan jatuh di pintu automatik yang terbuka dan akan jatuh ke dalam troli yang diisi dengan sekam padi. Troli ditarik keluar untuk proses mengambus labu dengan sekam padi dan dibiarkan selama 10 hingga 15 minit sebelum dikeluarkan. Labu yang telah disepuh dengan sekam padi akan berubah menjadi hitam dan dikeluarkan dari troli.

Penggunaan teknik baru yang sebenarnya diadaptasi daripada teknik tradisional ini telah dapat memendekkan masa memproses pembuatan dan menjimatkan kos pengeluaran labu sayong. Melalui projek inovasi ini, industri kraf labu sayong telah mengalami satu anjakan teknologi yang diukur melalui aspek kecekapan dan penjimatan kos. Selain daripada itu produk yang dihasilkan tidak mudah rosak serta mempunyai ciri-ciri keselamatan dan kawalan mutu yang seragam.

Kini pengusaha-pengusaha labu sayong khususnya dan kraf seramik amnya mendapat manfaat dalam mempermudah lagi urusan pembakaran labu sayong dan menjimatkan masa dan tenaga kerja. Penggunaan roller-kiln ini juga dapat memuaskan hati pelanggan dengan memenuhi permintaan dan kualiti produk seragam.  Roller-kiln ini ditempatkan di Pusat Gunasama, Kraftangan Malaysia Cawangan Perak bagi membolehkan semua pengusaha seramik mengguna pakai secara guna sama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan