Isnin, 2 Julai 2012

MAJLIS SIDANG MEDIA SEMPENA PROMOSI KERJA KAHWIN 2012

KUALA LUMPUR, 21 JUN 2012 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Majlis Sidang Media Promosi Kerja Kahwin 2012 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Majlis ini dihadiri oleh Yang Berhormat Senator Datuk Maglin Dennis D’ Cruz, Timbalan Menteri, Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dan isteri Yang Berbahagia Datin Margerat A. Joseph Fernandez.
Hadir menyambut para tetamu kehormat ialah Yang Berbahagia Dato’ Haji Sohaimi Shahadan, Pengerusi Kraftangan Malaysia dan Yang Berbahagia Encik Mohd Kamil Mohd Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.
Majlis hari ini adalah bersempena penganjuran Promosi Kerja Kahwin 2012 yang sedang berlangsung mulai 20 Jun hingga 2 Julai 2012 dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Bertemakan Kraf Ilham Dekorasi Perkahwinan, promosi kali ketujuh ini mendekatkan masyarakat tempatan dengan kreativiti dan inovasi dalam penghasilan produk kraf yang bersesuaian sebagai ilham dalam persiapan majlis perkahwinan.
Promosi Kerja Kahwin 2012 ini bertujuan menggalakkan masyarakat Malaysia terus mengguna pakai produk kraf tempatan dalam persiapan perkahwinan yang merangkumi hiasan pelamin perkahwinan, gubahan hantaran, perhiasan hinggalah ke fesyen.
Terdahulu, para jemputan kehormat dibawa melawat ke lokasi gerai Jualan Kraf yang disertai seramai 200 orang usahawan manakala gerai bagi Perkhidmatan Perkahwinan pula menempatkan 100 orang usahawan. Selain itu, turut dilawati Pameran Fantasi Laman Perkahwinan. Pameran ini memperkenalkan rekaan produk baru perkahwinan yang bersesuaian dengan kehendak pengguna untuk majlis perkahwinan. Pameran berkonsepkan reka bentuk fantasi ini menggabungkan ciri-ciri klasik dan moden dalam setiap kriteria produk yang dihasilkan.  Antara produk yang dihasilkan seperti bekas cincin, bunga telur, bekas telur, bekas hantaran, pahar / dulang, pakaian dan perabot.










Tiada ulasan:

Catat Ulasan