Isnin, 3 Disember 2012

MAJLIS SIDANG MEDIA SEMPENA PROMOSI KRAF MALAYSIA 2012 NEGERI KELANTAN


KOTA BHARU, 27 NOVEMBER 2012 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) hari ini mengadakan Majlis Sidang Media sempena Promosi Kraf Malaysia peringkat Negeri Kelantan bertempat di Pusat Jualan Kraf Batu 2, Bunut Payong. Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Encik Mohd Kamil Mohd Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.

Hadir sama ialah Yang Berusaha Tuan Haji Shahrudin bin Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia dan Encik Mohd Razis bin Md Said, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan.


Promosi Kraf Malaysia ini diadakan dengan tujuan menggalak serta memberi peluang kepada usahawan kraf tempatan mempromosi dan memasarkan produk kraf mereka di tempat tumpuan pengunjung. Selain itu menerusi usaha ini juga, dapat membantu menggalakkan perkembangkan industri kraf di Negeri Kelantan. Penganjuran promosi peringkat Negeri Kelantan ini diadakan di dua lokasi iaitu di Pusat Jualan Kraf dan KB Mall seperti berikut :

Pusat Jualan Kraf, Batu 2 Bunut Payong
Tarikh : 26 November – 8 Disember 2012
Masa : 10.00 pagi – 6.00 petang


Antara aktiviti yang diadakan di Pusat Jualan Kraf ini ialah Jualan Produk Kraf Tekstil, Hasil Tanah, Logam dan Hasil Rimba yang disertai oleh 21 orang usahawan kraf. Daripada jumlah tersebut, 12 usahawan adalah penyewa di pusat jualan ini sejak mula dibuka pada bulan Julai 2011.

Selain jualan, turut diadakan juga Demonstrasi dan Interaktif Kraf melibatkan masakan kuih tradisional, pembuatan seramik tradisional, atap senghora, pandai besi dan logam perak.

 Menjadi tumpuan pada promosi kali ini ialah Pertandingan Sangkar dan Burung Candik pada 28 November & 1 Disember 2012 yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Seni Suara Burung Candek Kelantan. Seramai 100 peserta menyertai pertandingan ini. Para peserta akan dinilai daripada aspek reka bentuk dan ragam hias sangkar burung serta bunyi burung candik.


Memeriahkan lagi promosi ini ialah Pameran Motor Klasik pada 30 November 2012 oleh 50 pemilik motor Vespa dan Honda. Pameran ini dijayakan dengan kerjasama Persatuan Motor Klasik Kota Bharu dengan tujuan mengeratkan silaturahim serta mempromosikan usaha persatuan ini berkongsi minat dengan para pengunjung di pusat jualan kraf.

KB Mall, Kota Bharu
Tarikh :  26 November – 4 Disember 2012
Masa : 10.00 pagi – 10.00 malam

Promosi Kraf Malaysia di KB Mall pula mengetengahkan seramai 24 usahawan kraf dari Negeri Kelantan, Perak, Selangor dan Pulau Pinang dari bidang tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf.

Selain di Kota Bharu, Promosi Kraf Malaysia seperti ini juga turut diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka (23 November - 3 Disember 2012) Kompleks Kraf Langkawi (29 November - 9 Disember 2012), Kompleks Kraf Negeri Sembilan (4 – 8 Disember 2012) dan Plaza Angsana, Johor Bahru (14 - 25 Disember 2012). Tamat.

----------------------
Untuk maklumat lanjut, hubungi :

KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN KELANTAN
KM10 JALAN KUALA KRAI
16010 KOTA BHARU
TEL : 09 – 712 6266 / pkkmkelantan.blogspot.com

Atau
BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
KRAFTANGAN MALAYSIA
TEL : 03 - 2162 7533 / www.kraftangan.gov.my






Tiada ulasan:

Catat Ulasan