Isnin, 1 Disember 2014

PERLANTIKAN ADIGURU KRAF 2014

KOTA BHARU, 25 NOVEMBER 2014 –Kraftangan Malaysia  agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Majlis Menandatangani Watikah Perlantikan Adiguru Kraf.  Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohd. Kamil bin Mohd. Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia bertempat di Kampung Penambang, Kota Bharu. Hadir sama ialah Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Encik Juhari bin Azmi.

Majlis pada hari ini, menyaksikan Puan Hajah Kelthom binti Haji Hussein, 68 tahun, pengusaha syarikat Che Minah Songket dilantik sebagai Adiguru Kraf bagi tahun 2014.

Penghargaan kepada Adiguru Kraf diberikan kepada Adiguru kraf tempatan yang berkemahiran tinggi dan memberikan sumbangan yang besar dalam membangun dan mengembangkan seni kraf negara. Adiguru Kraf ialah seseorang yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai seorang tokoh setelah mereka menepati kriteria-kriteria iaitu:

  1. Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang kraf kepakarannya atau ahli di dalam seni kemahiran ketukangan, penciptaan, penggubahan dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa Malaysia
  2. Memainkan peranan penting dalam usaha memulih dan memelihara seni kraf warisan
  3. Bersungguh-sungguh menurunkan kemahiran kepada kumpulan pelapis agar seni kraf warisan berkenaan mempunyai kesinambungan
  4. Kreatif dan inovatif dalam usaha memaju dan meningkatkan kualiti produk kraf yang dihasilkan

Menerusi pelantikan ini, Adiguru Kraf yang dilantik menikmati pemberian wang sagu hati berjumlah RM5,000.00 serta menerima elaun bulanan RM500.00 sebulan mulai bulan Januari 2015. Pelantikan Puan Hajah Kelthom binti Haji Hussein sebagai Adiguru Kraf merupakan yang pertama bagi tahun 2014, dan bakal disusuli dengan pelantikan seorang lagi Adiguru Kraf dalam bidang anyaman dari Negeri Sarawak pada bulan Disember ini.

Jumlah keseluruhan Adiguru Kraf termasuk pelantikan kedua-dua Adiguru Kraf tahun ini, kini berjumlah seramai 51 orang sejak mula diperkenal pada tahun 1987. Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut seramai 18 orang Adiguru Kraf sudah meninggal dunia. Yang Berbahagia Dato’ Ketua Pengarah serta para tetamu kemudiannya meneruskan lawatan ke Pameran Produk Adiguru yang dipamerkan di bengkel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan