Khamis, 18 Disember 2014

MAJLIS PERASMIAN FESTIVAL KRAF JOHOR 2014

JOHOR BAHRU, 18 DISEMBER 2014 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan hari ini mengadakan Majlis Perasmian Festival Kraf Johor 2014 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan bertempat di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall.

Hadir sama Yang Berbahagia Datuk Dr. Ong Hong Peng, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Yang Berbahagia Datuk Hj. Ab. Ghaffar bin A.Tambi, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Yang Berusaha Encik Rashidi bin Hasbullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Yang Berusaha Dr Junaidah Lee binti Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Yang Berbahagia Dato’ Mohd Kamil bin Mohd Ali, Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Festival Kraf Johor 2014 merupakan satu aktiviti mempromosi produk-produk kraf tempatan yang berlangsung mulai 18 hingga 31 Disember 2014 bermula dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall.

Penganjuran Festival Kraf Johor 2014 merupakan kali ke-4 diadakan dan dijadikan sebagai acara tahunan setelah mendapat maklum balas positif yang diterima daripada pengunjung dan pengguna kraf di selatan tanah air sejak mula diperkenal pada tahun 2011.

Objektif utama penganjuran Festival Kraf Johor ialah untuk mempromosi dan memasarkan produk kraf terus kepada pengguna; memperluaskan pasaran kraf; memberi kesedaran dan maklumat terkini mengenai industri kraf negara serta menanam minat pengguna terhadap kraf tempatan.

Aktiviti Utama yang diketengahkan sepanjang penganjuran ini ialah Jualan Produk Kraf, Pameran Dan Jualan Produk Baru, Pameran Landskap & Seni Taman, Demonstrasi Kembang Api, Demonstrasi Masakan & Kuih Tradisional dan Interaktif Kraf. Turut diadakan juga sempena festival ini ialah Aktiviti Galakan Pengunjung seperti Persembahan Kesenian, Permainan & Pertandingan Congkak, Persembahan Karaoke Rakyat, Idola FKJ 2014, Persembahan Artis Akademi Fantasia, Tazkirah Laman Rohani, Mini Pesta Buku, Seni Khat@Craft, Roda Klasik@Craft, Si Comel Meow@Craft, Warna-Warni@Craft dan Bonsai @Craft - TAMAT.

Untuk maklumat lanjut, hubungi :
KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN JOHOR
LOT PTB2002, JALAN CENDERASARI
OFF JALAN DATIN HALIMAH
80350 LARKIN, JOHOR  Ɩ  TEL : 07- 235 0431  Ɩ  LAYARI : www.festival.kraftangan.gov.my


Tiada ulasan:

Catat Ulasan