Hari Pekerja pada 1 Mei ini ada kaitan dengan gerakan menuntut waktu bekerja selama lapan jam sehari. Sekitar tahun 1800 pekerja industri di Britain telah merungut kerana dikenakan waktu bekerja yang lama dan keadaan bekerja yang amat menyedihkan. Tetapi pada masa ini tiada gerakan yang dianggap drastik telah dilakukan.
Walau bagaimanapun, gerakan ini telah merebak ke seluruh dunia terutamanya di negara-negara yang berasaskan industri pada masa itu seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.
Inspirasi awal Hari Pekerja ini bermula di Australia. Para pekerja di negara itu mengambil keputusan pada tahun 1856 untuk cuti sehari suntuk supaya dapat mengadakan mesyuarat dan hiburan sebagai salah satu gerakan demonstrasi menuntut bekerja selama lapan jam sehari. Hari bagi perayaan ini ditetapkan pada 21hb April.
Pada mulanya, pekerja Australia itu mengajurkan ini hanya bagi tahun 1856.Tetapi perayaan pertama ini membawa impak yang kuat pada golongan pekerja di Australia lalu menghidupkan mereka serta membawa pemberontakan baru, menyebabkan keputusan diambil untuk mengulangi perayaan tersebut setiap tahun.
Kemudian “Waktu Bekerja Selama Lapan Jam” telah menjadi agenda utama perjuangan oleh International Workingmen’s Association yang memperjuangkan tuntutan bagi lapan jam sehari pada persidangannya di Geneva pada Ogos 1866.Persekutuan Persatuan Pekerja dan Buruh di Amerika Syarikat telah melancarkan mogok dan demontrasi pada tahun 1884 dengan menggunakan slogan-
“Lapan jam kerja,Lapan jam berekreasi,Lapan jam berehat.”
Gerakan mereka telah menemui kejayaan apabila di Amerika Syarikat, waktu bekerja selama lapan jam sehari telah dikuatkuasakan pada 1 Mei 1886. Tarikh ini menjadi asas kepada Hari Pekerja Sedunia termasuklah negara kita Malaysia.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman telah mengumumkan tanggal 1 Mei sebagai hari kelepasan am bagi pekerja Malaysia pada tahun 1972.Pengumuman itu dibuat dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Kesatuan Sekerja Biro Buruh dan Kesatuan Sekerja UMNO yang diadakan di Dewan Belia, Kampung Pandan pada 20 Mei 1972.
Kerajaan telah mula menganjurkan Perhimpunan Hari Pekerja mulai tahun 1991. “Pekerja Merealisasi Transformasi Negara” merupakan tema pada tahun ini dan Majlis Perhimpunan Hari Pekerja akan diadakan pada 7 Mei 2011 bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil.
Kepada semua anggota kerja Kraftangan Malaysia dan semua rakyat Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat mengucapkan Selamat Hari Pekerja. Semoga kita lebih tekun bekerja untuk membina negara kita ke arah kecemerlangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan