Selasa, 30 September 2014
Isnin, 22 September 2014
IBADAH HAJI 1435H/2014M
Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia ingin mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Haji kepada anggota kerja Kraftangan Malaysia, usahawan kraf dan semua bakal jemaah haji Malaysia musim haji 1435H/2014M.
Untuk makluman, Encik Misroni bin Haji Sulaiman, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat juga adalah salah seorang tetamu jemputan Allah SWT ke tanah suci pada tahun ini. Beliau akan mula bercuti pada 17 Oktober sehingga 5 November 2014.Semoga semua jemaah selamat pergi dan kembali ke tanah air dengan selamat serta semoga mendapat haji mabrur,insyaAllah.
![]() |
| Encik Misroni bin Sulaiman, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat |
Isnin, 15 September 2014
TATTOO 2014
Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia akan menganjurkan Kuala Lumpur International Tattoo 2014 pada 10 Oktober hingga 12 Oktober 2014 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur International Tattoo 2014 merupakan acara utama sempena VMY 2014 bagi membolehkan pelancong dalam dan luar negara serta rakyat Malaysia amnya menyaksikan satu pertunjukan istimewa yang memaparkan patriotism, semangat, ketangkasan dengan elemen-elemen kehebatan pasukan keselamatan negara-negara peserta. Program ini pernah diadakan pada tahun 2007.
Antara negara yang bakal menyertai acara mega ini ialah Brunei Darussalam, India, New Zealand, Singapura, Thailand, Myanmar, Indonesia, United Kingdom, Turki, Korea Selatan dan Afrika Selatan. Manakala penyertaan dalam negara pula termasuklah dari Pasukan Wira Merah Kor Polis Tentera Di Raja Malaysia, Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia, Pancaragam Polis Di Raja Malaysia, Pancaragam Tentera Laut Di Raja Malaysia, Pancaragam Tentera Udara Di Raja Malaysia dan Kumpulan Kesenian pelbagai kaum di Malaysia.
Pengunjung bakal disajikan dengan persembahan ketenteraan dan kepolisan seperti War Dances , Bag Pipes, Brass Band , Marching , Military Demo , Artilary Performances dan Acrobatic . Terdapat juga persembahan Bunga Api, seni budaya, Laser, Cahaya dan Muzik serta pameran.
Semua kakitangan dan orang ramai adalah dijemput hadir dan memeriahkan lagi acara KL International Tattoo 2014. Masuk adalah percuma.
Khamis, 11 September 2014
MAJLIS PERASMIAN PROMOSI KRAF MALAYSIA ‘POHPALEH PAHANG’
KUANTAN,
09 SEPTEMBER 2014 – Kraftangan
Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari
ini mengadakan Majlis Perasmian Promosi Kraf Malaysia ‘Pohpaleh Pahang’ yang
disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku
Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah
Sultan Iskandar Alhaj bertempat di East Coast Mall, Kuantan.
Hadir
sama Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Sharkar Bin Haji Shamsuddin, Pengerusi
Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang dan Yang Hormat Dato’
Mohd Zubair Mohd Zain, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang.
Majlis ini adalah bersempena penganjuran kali ke-6 Promosi
Kraf Malaysia yang sedang bermula 9 - 14 September 2014 mulai jam 10.00 pagi -
10.00 malam bertempat di East Coast Mall, Pahang. Aktiviti-aktiviti yang diadakan
seperti Jualan Kraf oleh 53 usahawan kraf, Peragaan Pakaian Batik Negeri
Pahang, Pameran Produk Pahang, Interaktif dan Edu Kraf serta Kaunter Maklumat
Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja.
Promosi Kraf Malaysia diadakan
dengan tujuan mempromosikan produk kraf tempatan bagi memenuhi pasaran
domestik. Malah kunjungan pelancong dari luar negara turut berpeluang melihat
keunikan dan keindahan produk kraf tempatan yang dianjurkan di lokasi tumpuan
ramai ini. Penganjuran di East Coast Mall ini mendapat sambutan menggalakkan
daripada pengunjung sejak diperkenalkan pada tahun 2009 lagi.
Bersempena majlis ini juga, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang turut melancarkan penjenamaan produk Negeri Pahang iaitu
PAHANG PRIDE yang dipilih bagi
menunjukkan rasa bangga dan teruja terhadap keluaran produk Negeri Pahang.
Objektif program penjenamaan ini ialah bagi mewujudkan
satu jenama khusus bagi produk-produk yang dihasilkan Negeri Pahang oleh
usahawan-usahawan tempatan. Selain itu, penjenamaan ini juga merupakan satu
bentuk pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang berdaya saing dalam
memajukan produk-produk keluaran Negeri Pahang dan secara langsung dapat
memperkenalkan produk-produk keluaran Negeri Pahang.
Rabu, 27 Ogos 2014
MAJLIS PELANCARAN JENAMA "PREKA"
Jenama
Preka merupakan singkatan perkataan Pereka,
iaitu pereka-pereka Kraftangan Malaysia yang komited di dalam menghasilkan
rekaan-rekaan baru produk kraf tempatan dengan kerjasama pengusaha-pengusaha
kraf tempatan dari pelbagai bidang kemahiran kraf (kayu, anyaman, tenunan,
logam, seramik dan aneka kraf). Jenama Preka bukan sekadar pada jenama
sahaja, malah produk yang dihasilkan melalui jenama ini boleh diperoleh di rangkaian kedai jenama Preka
yang terdapat di beberapa tempat mengikut segmen produk seperti hadiah &
cenderamata pelancong/korporat, pakaian dan aksesori, seramik dan hiasan dalaman. Antara outlet-outlet jenama Preka yang telah beroperasi adalah seperti
yang berikut:
- Kompleks Kraf Kuala Lumpur (Pakaian, aksesori, hadiah & cenderamata dan hiasan dalaman).
- Preka Ceramics di Kompleks Kraf Kuala Lumpur (Produk seramik hiasan, cenderamata & hadiah, seramik taman).
- Menara MARA, Kuala Lumpur (Produk hadiah dan cenderamata korporat).
- Kompleks Kraf Langkawi (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
- Pantai Tengah, Langkawi (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata dan hiasan dalaman)
- Pasar Seni, Kuala Lumpur (Produk hadiah dan cenderamata pelancong berasaskan veneer & kayu)
- ATV Adventure Park, Bukit Larut, Perak (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata).
- Kg. Genting, Pulau Tioman kerjasama di antara pemilik kedai cenderamata (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
- Kg Salang di Pulau Tioman kerjasama di antara pemilik kedai cenderamata (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
- Telaga Harbour Langkawi kerjasama di antara pemilik kedai cenderamata (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
- Malaysia Crafts Kiosk, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (Pakaian dan aksesori, hadiah & cenderamata untuk pelancong dalam dan luar negara).
Majlis pelancaran jenama "Preka" ini akan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Sohaimi Shahadan, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada 28 Ogos 2014 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur
Khamis, 21 Ogos 2014
MALAYSIA BERKABUNG
Amin. Amin. Ya Robbalalamin. Takziah diucapkan kepada semua ahli keluarga penumpang nahas MH17 yang mengorban ratusan nyawa dengan keadaan yang tragis. Apa yang berlaku, hanya Allah SWT yang lebih mengetahui. Sebahagian jasad yang telah dikenalpasti akan dibawa pulang ke tanah air pada 22 Ogos 2014 ini. Dalam pada saat kepulangan itu, Malaysia akan berkabung serentak di seluruh negara bagi menghormati jenazah yang tiba. Bagi mangsa yang beragama Islam, semoga roh mereka diletakkan di kalangan hambaNya yang beriman.

Langgan:
Catatan (Atom)




