Selasa, 26 April 2011

SELAMAT HARI LAHIR EN MANAN



Bahagian Komunikasi Korporat mengucapkan Selamat Hari Lahir ke - 43 kepada Encik Abdul Manan bin Ismail yang jatuh pada 18 April 2011 yang lalu. Kami mendoakan semoga tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik dan membawa kebahagiaan kepada beliau.

Isnin, 25 April 2011

SEMOGA CEPAT SEMBUH JUNAIDI AMAN

Junaidi Aman, warga kerja Bahagian Komunikasi Korporat telah mengalami kecederaan pada jari kaki kirinya akibat kemalangan kecil. Kami mendoakan semoga cepat sembuh dan dimudahkan oleh Allah SWT akan segala urusannya.

"Allahumma anta asy-syafi, la syifaan illa syifauka; syifaan la yughadiru saqoma"
Maksudnya : Ya Allah, Engkaulah Penyembuh, tiada penawar melainkan penawar Engkau; penawar yang tiada meninggalkan kesakitan lagi ::

Jumaat, 22 April 2011

NONA BERSIARAN DARI KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR

Cuba menampilkan kelainan, program majalah Wanita terbitan TV3, NONA telah menjadikan Kompleks Kraf Kuala Lumpur sebagai salah satu lokasi penggambaran. Vanidah Imran, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke 20 yang juga pengacara rancangan ini telah merakamkan penggambaran di dalam Muzim Kraf. Anggota kerja Kraftangan Malaysia berkesempatan melihat aktres yang jelita dan berbakat besar ini secara dekat.






Jangan lupa menonton rakaman ini yang akan bersiaran pada 22 Mei 2011, jam 2.00petang di TV3.

Selasa, 19 April 2011

SEKALUNG TAHNIAH



Bahagian Komunikasi Korporat berbesar hati mengucapkan sekalung tahniah kepada anggota kerja Bahagian Khidmat Pengurusan iaitu Encik Manap Othman kerana telah berjaya menggondol tempat ke tiga dalam pertandingan nyanyian Suara Bintang Selayang 2011 anjuran DUN Taman Templer Biro Pelancongan Kebudayaan Kesenian dan UMNO Bahagian Selayang pada 17 April 2011 yang lalu. Pertandingan tersebut telah dimulakan dengan proses saringan pada 16 April (Sabtu) di mana beliau telah membawakan lagu yang di popularkan oleh Sudirman iaitu Patah Hati. Berikutan daripada itu beliau terlah terpilih untuk bertanding di peringkat akhir dimana lagu yang dipilih iaitu Seri Banang yang di popularkan oleh Kumpulan Pancang Jermal telah melayakkan beliau memenangi tempat ke tiga dengan membawa pulang trofi berserta wang tunai RM 200.00.

Kemenangan ini adalah disifatkan sebagai pencapaian terbaik dan paling cemerlang oleh beliau selama ini. Beliau sememangnya mencintai bidang ini. Ini dapat dilihat di mana setiap kali adanya pertandingan yang di anjurkan oleh Kraftangan Malaysia beliau tidak akan melepaskan peluang untuk menyertainya.

Ditanya mengapa lagu asli menjadi pilihan, beliau mengatakan bahawa beliau percaya “suara yang dimiliki lebih cenderung membawakan irama asli dan beliau mengakui lagu asli memang menjadi minat beliau selama ini”. Di tanya pula apakah langkah yang beliau akan ambil seterusnya selepas ini dalam misi mengembangkan bakat beliau itu, beliau mengatakan akan mencuba nasib untuk pertandingan “Kilauan Emas” anjuran Astro Prima. Di usik dengan soalan adakah beliau akan meninggalkan kerjaya yang ada di Kraftangan Malaysia sekarang dalam mengejar minatnya itu, beliau mengatakan “tidak mungkin meninggalkan kerjaya sekarang kerana nyanyian hanya sebagai minat di samping mengisi masa lapang yang terluang”.

Sekali lagi tahniah di ucapkan dan semoga bakat yang terpendam ini akan terus berkembang mekar.






Selasa, 12 April 2011

BULETIN KRAF

Tahun 2011, Bahagian Komunikasi Korporat dipertanggungjawabkan bagi menerbitkan "Buletin Kraf" Kraftangan Malaysia yang akan menampilkan keluaran sulung. Keluaran sulung ini akan menampilkan perubahan dan pembaharuan kandungan, reka letak, warna dan kualiti. Tunggu keluaran sulung ini tidak lama lagi~~

Selasa, 15 Mac 2011

KRAF MENJANA EKONOMI

KRAF MENJANA EKONOMI

Tahun 2011 menyaksikan penganjuran berprestij Hari Kraf Kebangsaan kali ke sembilan dengan memilih ‘Kraf Menjana Ekonomi’ sebagai tema. Tema dipilih selaras dengan peranan industri kraf yang menjadi salah satu daripada sumber pendapatan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Hari Kraf Kebangsaan (HKK) yang bermula pada 23 Februari hingga 7 Mac 2011 berkonsepkan himpunan produk kraf Malaysia daripada pelbagai kaum dan budaya dari seluruh Malaysia untuk dibawa terus oleh pengusaha kepada pengguna. Kraftangan Malaysia menyediakan kemudahan ruang jualan kepada usahawan untuk memasarkan produk keluaran mereka. Melalui aktiviti jualan dan pameran usahawan kraf berpeluang berurus niaga dan bersemuka dengan pelanggan. Program Perjumpaan Pembeli dengan pedagang luar negara memberi peluang kepada usahawan-usahawan kraf meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

Seramai 500 usahawan kraf pelbagai bidang dari seluruh negara menyertai HKK tahun ini dengan menjual pelbagai produk kraf tempatan yang terdiri daripada tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf. Pengunjung juga berkesempatan melihat pameran produk kraf berkonsepkan gaya hidup antaranya Pameran Kelengkapan Rumah dan Pameran Seni Ukir Dalam Seni Bina. Hari Kraf tahun ini juga diadakan aktiviti pendidikan kraf yang memberi peluang kepada pengunjung mencuba membuat seramik, menganyam rotan, membuat origami dan ukiran kayu. Tidak ketinggalan turut diadakan Apresiasi Kraf yang merupakan program perkongsian idea dan ilmu yang memfokuskan perbincangan kepada Teknik Pembuatan Logam Bahan Campuran Seramik, Tenun Palembang dan Aplikasi Pewarna Glaze.

Selain itu, pengunjung-pengunjung Hari Kraf Kebangsaan berpeluang melihat sendiri pembuatan songket dan tenunan melalui aktiviti demonstrasi kraf tenunan dari dalam dan luar negara. Beberapa buah negara pengeluar tenunan telah dijemput untuk mengadakan demonstrasi antaranya Filipina, Indonesia, Bangladesh, Uzbezkistan dan China.

Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2011

Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2011 telah disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Puan Sri Datin Noorainee Abdul Rahman, Isteri Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 24 Februari 2011 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Hadir sama ialah Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan isteri Yang Berbahagia Datin Seri Masnah Rais.

“Seni kraf bukan sahaja warisan bangsa yang perlu dipelihara kerana nilai estetiknya tetapi sumbangannya yang besar kepada pembangunan sosio-ekonomi usahawan industri itu. Penganjuran Hari Kraf Kebangsaan saya kira amat bertepatan sekali kerana ia membantu meningkatkan pendapatan usahawan kraf” kata Noorainee.

Dalam ucapannya, beliau turut mencadangkan supaya Persatuan Kraf Wanita Malaysia ditubuhkan bagi menjaga kebajikan dan pembangunan kaum wanita yang melibatkan diri dalam industri kraf. Persatuan ini akan menumpukan kepada aspek penerokaan peluang baru dalam penghasilan kraf, strategi pemasaran produk serta latihan dan bimbingan kepada ahli untuk meningkatkan ilmu kemahiran yang dimiliki oleh para ahlinya.

Pada majlis yang sama, Yang Amat Berbahagia Puan Sri Datin Noorainee Abdul Rahman turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kraf Negara dan Penghargaan Khas – Tukang Ulung.


i. PENGANUGERAHAN TOKOH KRAF NEGARA

Anugerah Tokoh Kraf Negara mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada tahun 1996. Ia diadakan bagi menghargai jasa dan sumbangan tukang kraf dalam usaha memelihara dan melindungi seni pertukangan dan kemahiran kraf warisan daripada pupus. Penerima / waris menerima wang ganjaran bernilai RM60,000.00. Penerima bagi Tokoh Kraf Negara 2011 ialah :

Nama Penerima : Allahyarham Tuan Haji Ab Manan bin Haji Yakub
Bidang Kraf Pertukangan Perak
Diwakilkan oleh :Encik Hasnan ( Anak sulung penerima )



ii. PENGHARGAAN KHAS - TUKANG ULUNG

Tukang Ulung adalah seseorang yang diberi pengiktirafan oleh Kerajaan melalui Kraftangan Malaysia sebagai seorang yang berpengalaman luas, mahir dan mempunyai pengetahuan teknikal dari segi sesuatu pembuatan kraf. Pengalamannya telah membolehkannya mempunyai kecekapan, kemahiran yang tinggi, pandai dan terbaik dalam bidangnya. Seramai 9 orang penerima diberi plak penghargaan berserta wang bernilai RM10,000.00 setiap seorang.

Senarai Penerima:
1. Encik Salleh bin Mohd (Pembuat Kraf Tembaga)
2. Encik Hasan @Hasni bin Ali (Pembuat Kraf Perahu Layar)
3. Allahyarham Tuan Hj. Mohd Fadzil bin Abdullah (Pembuat Kraf Tekstil Batik)
4. Encik Siow Ho Phiew (Pembuat Kraf Kepala Singa)
5. Madam Khoo Lay Im (Pembuat Kraf Sulaman Manik)
6. Encik V.N Ramadas A/L Vengadasalam (Pembuat Kraf Tembikar)
7. Encik Johnny AK Barangan (Pembuat Kraf Parang Ilang)
8. Tuan Haji Latun bin Ibnu (Pembuat Kraf Perahu Lepa)
9. Encik A.Samri A/L Abdul Rahman (Pembuat Kraf Patung & Topeng Orang Asli)

Sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2011 diteruskan dengan PROMOSI KRAF MALAYSIA - PUSAT BELI BELAH iaitu di One Utama, Damansara ( 16 – 20 Mac ), Aeon Bukit Raja, Klang ( 22 Mac – 3 April ) dan Great Eastern Mall, Kuala Lumpur (24 Mac – 3 April ).


Oleh : Wan Zakiroh Binti Megat Sulaiman
(Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia)