Jumaat, 30 September 2011

LAWATAN NEGARA ISTERI PRESIDEN VIETNAM

Selamat datang dan terima kasih kepada
TYT Madam Mai Thi Hanh bersama rombongan
ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur
pada 29 September 2011.




Selasa, 27 September 2011

BULETIN KRAF : INOVASI TEKNIK PEMBAKARAN LABU SAYONG


Oleh                           : Sharina Shaari
                                   sharina@kraftangan.gov.my

Perusahaan tembikar hitam telah wujud sekian lamanya di Kampung Kepala Bendang, Sayong di daerah Kuala Kangsar, Perak. Bagaimana tembikar hitam ini dikenali sebagai labu sayong? Oleh kerana tembikar ini berasal daripada Sayong dan bentuknya diilhamkan daripada buah labu, timbul pula dari sembang-sembang penduduk di situ akhirnya tembikar hitam ini dikenali sebagai labu sayong.

Bila berbicara mengenai labu sayong, tergambar di fikiran bekas yang diperbuat daripada tanah liat yang digunakan untuk menyimpan air.  Sejuk dan nyaman bila meneguk air yang disimpan di dalam labu sayong. Orang tua-tua mengatakan air yang disimpan di dalam bekas tanah liat ini mempunyai khasiat tersendiri antaranya dapat mengurangkan panas badan dan yang penting dapat menghilangkan dahaga. Bagi Penduduk di Kampung Kepala Bendang perusahaan membuat labu sayong adalah perusahaan tradisional yang kini menjadi identiti mereka dan juga sebagai produk pelancongan yang terkenal di kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Ramai di kalangan kita beranggapan bahawa labu sayong semata-mata sesuai dijadikan sebagai menyimpan air minuman. Komitmen pereka muda Kraftangan Malaysia yang tanpa rasa jemu mencerna ilham dan kreativiti berjaya mencipta pelbagai kegunaan ke atas produk seni tradisi ini. Kejayaan ini telah mewujudkan fenomena baru ke atas penggunaan dan permintaan terhadap labu sayong. Rentetan daripada itu labu sayong berpotensi untuk dikomersialkan sebagai produk perhiasan selain sebagai bekas menyimpan air minuman.

Sebagai agensi yang bertanggung jawab membantu meningkatkan industri kraf negara, Kraftangan Malaysia Cawangan Perak telah menggembleng idea mencipta inovasi baru iaitu tanur pembakaran labu sayong roller kiln dengan sekam padi. Idea awal dicetuskan oleh Tuan Haji Yusop Muri pada tahun 2006 yang pada ketika itu bertugas sebagai Penolong Pengarah di Kraftangan Malaysia Cawangan Perak. Satu pasukan tenaga kerja yang diketuai oleh penasihat projek iaitu Tuan Haji Muhammad Bin Ag. Teh (bekas Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak), pegawai projek Tuan Haji Yusop Muri, pegawai Teknikal I, Encik Mohamad Puzi Bin Ahmad(bekas pengajar kraf) dan pegawai Teknikal II, Encik Mohamad Rizan Bin Mohamad  Nordin (pereka). Pada akhir tahun 2007, Roller-kiln ini telah mula dijadikan sebagai kemudahan guna sama untuk kegunaan pengusaha-pengusaha kraf seramik yang berhampiran di sekitar kawasan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak.

Penggunaan tanur pembakaran ini meningkatkan pengeluaran labu sayong. Sejumlah 210 unit labu sayong boleh dihasilkan dalam masa 7 jam berbanding 70 biji labu sayong yang dapat dihasilkan dalam masa 8 jam dengan menggunakan tanur biasa. Tanur pembakaran ini boleh beroperasi selama 24 jam dan boleh juga digunakan untuk pembakaran seramik bergris pada suhu 900’c dan pembakaran decal.

Tanur roller kiln ini mempunyai 3 zon pembakaran iaitu zon pertama 90’c hingga 300’c, kedua 300’c hingga 550’c dan zon ketiga 550’c hingga 900’c. Tanur ini direka bentuk dengan menggunakan set roller yang menggerakkan labu sayong yang disusun di atas conveyor ke dalam tanur pembakaran. Roller digerakkan mengguna motor elektrik dan kelajuan pergerakannya boleh dikawal. Rantai coveyor diperbuat daripada stainless steel yang tahan kepanasan sehingga suhu maksimum 1000’c.

Labu sayong akan jatuh di pintu automatik yang terbuka dan akan jatuh ke dalam troli yang diisi dengan sekam padi. Troli ditarik keluar untuk proses mengambus labu dengan sekam padi dan dibiarkan selama 10 hingga 15 minit sebelum dikeluarkan. Labu yang telah disepuh dengan sekam padi akan berubah menjadi hitam dan dikeluarkan dari troli.

Penggunaan teknik baru yang sebenarnya diadaptasi daripada teknik tradisional ini telah dapat memendekkan masa memproses pembuatan dan menjimatkan kos pengeluaran labu sayong. Melalui projek inovasi ini, industri kraf labu sayong telah mengalami satu anjakan teknologi yang diukur melalui aspek kecekapan dan penjimatan kos. Selain daripada itu produk yang dihasilkan tidak mudah rosak serta mempunyai ciri-ciri keselamatan dan kawalan mutu yang seragam.

Kini pengusaha-pengusaha labu sayong khususnya dan kraf seramik amnya mendapat manfaat dalam mempermudah lagi urusan pembakaran labu sayong dan menjimatkan masa dan tenaga kerja. Penggunaan roller-kiln ini juga dapat memuaskan hati pelanggan dengan memenuhi permintaan dan kualiti produk seragam.  Roller-kiln ini ditempatkan di Pusat Gunasama, Kraftangan Malaysia Cawangan Perak bagi membolehkan semua pengusaha seramik mengguna pakai secara guna sama.


BULETIN KRAF : DATIN SERI MASNAH RAIS VERSATILKAN KRAF TEMPATAN



Sarung batik benang suasa
Dipakai gadis ayu bergaya
Anggun dan cantik pewaris budaya
Elok tersusun madah dan  bahasa

Petah berpantun, berbakat dalam menyanyi dan amat mencintai seni dan budaya, Datin Seri Masnah Rais menjadi tulang belakang kepada Yang Berhormat Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia menjalankan tugas kepada bangsa, agama dan negara.

Sebagai seorang pencinta seni dan budaya, Datin Seri Masnah Rais seorang yang versatile. Terbuai dengan perasaan bila mendengar Datin Seri mendendangkan lagu-lagu nostalgia seperti “ayam den lapeh”, ‘ubekkan denai” dan “Shanghai Beach”. Kesibukan sebagai seorang isteri kepada seorang Menteri tidak pernah menghalang minat Datin Seri terutama dalam berkarya. Coretan seni Datin Seri acap kali menghiasi ruang di akhbar-akhbar.  

Datin Seri Masnah Rais antara ikon budayawan negara yang sentiasa memberi suntikan dan dorongan kepada karyawan dalam menghasilkan seni terutamanya kepada pengusaha kraf. Datin Seri sering memakai pakaian batik dan tenunan keluaran usahawan kraf. Semangat berkarya, cintanya pada budaya negara menjadikan beliau sebagai seorang tokoh yang patut dicontohi seperti mengimbas kembali ucapan beliau semasa merasmikan Promosi Batik Sarung pada 7 September 2006.

 Untuk mengembalikan nostalgia kegemilangan sarung batik sejak zaman berzaman oleh orang Melayu, Baba Nyonya dan Chitea satu usaha sentuhan inovasi perlu diterapkan kepada sarung batik agar menjadi identiti keluaran Malaysia....”

Petikan ucapan ini menggambarkan keprihatinan dan sokongan Datin Seri terhadap kraf tempatan serta menggalakkan kemajuan dan pembangunan industri kraf negara. BK

Khamis, 15 September 2011

AL-FATIHAH - WAN SU BIN OTHMAN

Wan Su bin Othman
(Bidang Pengukiran Kayu)
1899-2011

Al-Fatihah  kepada Wan Su bin Othman atau dikenali sebagai Tok Ayah yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi. Allahyarham merupakan seorang pengukir kayu yang disegani. 

Antara ukiran yang dihasilkan allahyarham adalah Pintu Besar Muzium Negara Kuala Lumpur, Wayang Kulit di Muzium Negara, Muzium Denmark, Muzium Singapura, Meja pejabat MAS London, Pintu Utama dan Dewan Santapan Istana Sultan Pahang, Dewan Santapan Istana Sulatan Selangor dan banyak lagi. 
Allahyarham juga diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Ukiran Kayu Tradisional oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 1987. 

Al-Fatihah kepada Wan Su bin Othman 




Jumaat, 9 September 2011

SEMOGA CEPAT SEMBUH PUAN SHARINA


Puan Sharina Shaari, anggota kerja Bahagian Komunikasi Korporat telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya kerana menjalani pembedahan tiroid. Kami mendokan beliau semoga cepat sembuh dan kembali bertugas sepert biasa.

PENGERUSI BARU KRAFTANGAN MALAYSIA

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
 MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA YANG BERBAHAGIA DATO' SOHAIMI SHAHADAN YANG DILANTIK SEBAGAI PENGERUSI BARU KRAFTANGAN MALAYSIA
BERKUAT KUASA PADA 1 SEPTEMBER 2011

Rabu, 7 September 2011

MEMOHON SUMBANGAN

PUSPANITA Cawangan Kraftangan Malaysia akan mengadakan lawatan ke Rumah Seri Kenangan Cheras   pada 15 September 2011 (Khamis). Sesiapa yang ingin memberi sumbangan ikhlas dalam bentuk wang tunai untuk disampaikan kepada Rumah Seri Kenangan Cheras, tuan /puan boleh majukan sumbangan ikhlas tersebut kepada Cik Farina Darus atau Puan Nurul Huda AMS Aboo Backer selewat-lewatnya pada 13 September 2011 (Selasa).

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi mereka di talian 03-21627459.

Semoga dengan sumbangan ikhlas tuan/puan akan mendapat keredhaan Allah S.W.T di samping dapat mengekalkan ukhwah sesama kita.

PELAJAR PRAKTIKAL

Bahagian Komunikasi Korporat telah menerima seorang  pelajar praktikal, Mohd Shaiful Isyraq b Md Nasir dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau akan menjalani latihan praktikal dari 5 September 2011 hingga 30 Disember 2011. Selamat menjalani alam pekerjaan..

TAHNIAH FINAS

Bermula 1 September 2011, Yang Berbahagia Encik Mohd Naguib bin Razak telah dilantik menjadi Ketua Pengarah yang baru. Kraftangan Malaysia ingin mengucapkan tahniah diatas pelantikan ini.